Sunday, March 25, 2018

ISLAMIC STORY BOOK

KISAH UMAR AL-KHATTAB
Umar al-Khattab r.a. dilahirkan 13 tahun setelah kelahiran Rasulullah SAW. Sebagai anak yang lahir dalam keluarga bangsawan Quraisy, beliau dibekalkan pendidikan yang baik seperti dalam bidang perniagaan dan pertahanan diri. Sebut sahaja nama Umar al-Khattab, masyarakat Arab segera terbayang seorang anak muda yang tegas pendirian, kuat semangat juangnya dan bijak berpidato. Beliau juga memiliki susuk tubuh yang besar dan gagah. Sesiapa sahaja berasa gerun untuk berlawan dengannya. Di medan perang, beliau adalah raja yang cekap bermain senjata.


Sebelum memeluk agama Islam, Umar sangat menentang Islam dan Rasulullah SAW. Beliau pernah memasang niat yang kuat untuk membunuh baginda. Apabila mengetahui niat beliau, Rasulullah SAW selalu berdoa, “Semoga Allah SWT memberikan kejayaan kepada Islam dengan masuknya salah satu daripada dua Umar (Umar bin Khattab dan Abu Jahal) memeluk Islam.”

Allah SWT telah mengabulkan doa Rasulullah SAW. Sebelum memeluk agama Islam juga, beliau seorang yang bengis dan kasar.  Beliau gemar meminum minuman keras. Masyarakat Arab ketika itu sungguh menghormati Umar al-Khattab. Ketegasan dan keberaniannya sering menjadi bualan ramai.

Bapa Umar bernama Khattab bin Nufail al-Makhzumi. Ibunya pula bernama Khatmah binti Hasyim. Walaupun beliau anak kepada bangsawan Quraisy, Umar tidak terlepas daripada kerja seperti menggembala unta. Malah, bapanya  menyuruh beliau menggembala unta tanpa sebarang hari cuti. Umar tidak pernah membantah segala suruhan ayahnya itu. Setiap pekerjaan yang diberikan kepadanya akan dilaksanakan dengan sempurna. Ketegasan bapanya menjadikan Umar seorang anak muda dan pemimpin yang tegas.

Pada suatu hari, Umar berasa muak dengan perkembangan Islam. Dengan pedang di tangan, beliau berniat hendak membunuh Rasulullah SAW. Di tengah jalan, beliau berjumpa dengan Nu’aim bin Abdullah, iaitu seorang sahabat yang memberitahu bahawa adik perempuan beliau sendiri bernama Fatimah dan suaminya, Sa’id bin Zaid telah memeluk agama Islam.

Betapa marahnya Umar mendengar berita itu. Beliau segera ke rumah Fatimah. Sesampai di sana, beliau melihat Fatimah dan suaminya sedang membaca ayat-ayat suci al-quran. Dengan kemarahan yang meluap-luap, beliau menengking Fatimah dan memerintahkannya untuk meninggalkan agama Islam dan kembali kepada tuhan-tuhan datuk moyang mereka.

Di puncak kemarahannya, Umar menangkap lembaran yang tertulis ayat-ayat al-quran. Jantung beliau tiba-tiba  berdegup kuat dan hati beliau menjadi sempit. Dengan tangan gementar, beliau mengambil lembaran-lembaran itu dan membaca ayat-ayat al-quran yang tertera. Setelah membaca ayat-ayat itu, perasaan beliau menjadi tenang dan damai. Hati beliau luluh dan timbul keinginan yang kuat untuk bertemu Rasulullah SAW. Beliau pun meninggalkan rumah Fatimah menuju ke rumah al-Arqam, di mana Rasulullah SAW sedang berdakwah secara senyap-senyap. Umar pun memeluk Islam dan bersyahadat di hadapan baginda.


“Umar telah memeluk Islam! Umar telah memeluk Islam!” Masyarakat Quraisy gempar dengan berita pengislaman Umar al-Khattab. Siapa sangka, beliau yang begitu memusuhi Islam akhirnya menganuti Islam. Umat Islam di kota Mekah amat gembira dengan berita itu. Setelah beliau memeluk agama Islam, mereka bebas beribadat dan berdakwah secara terang-terangan.

Sejak kecil, Umar  sudah  mula berlatih menunggang kuda. Beliau boleh melompat dengan tepat ke atas pelana kuda. Ketangkasan beliau telah menjadikannya seorang ahli perang yang disegani musuh.
Setelah memeluk Islam, keperibadian Umar semakin menonjol. Beliau bukan sahaja pahlawan yang gagah berani, malah seorang ahli ibadat, pemimpin dan ilmuan yang disegani dan dihormati.

Peribadi beliau yang istimewa ini telah menjadikan beliau disayangi dan dikagumi oleh sesiapa sahaja yang mengenalinya. Keperibadian unik yang ada pada diri Umar adalah hasil daripada didikan keluarganya, pergaulannya serta didikan dan pengaruh peribadi Nabi Muhammad SAW.  Keperibadiannya ini menjadi sebutan dan bualan masyarakat Arab ketika itu. Umar al-Khattab dilantik menjadi khalifah oleh Abu Bakar as-Siddiq. Beliau yakin Umar mampu melaksanakan tugas seorang khalifah dengan baik. Perlantikan beliau turut dipersetujui sebulat suara.
 
Umar al-Khattab adalah pemimpin yang memiliki kepakaran pentadbiran dan pengurusan yang tinggi, pemimpin politik dan panglima perang yang cerdas. Antara sumbangan besar yang diberikan oleh beliau untuk Islam ialah beliau serta pasukan Islam berjaya membentangkan kejayaan Islam dari Mesir, Syam, Iraq sehingga ke kerajaan Parsi. 

Beliau berjaya mengembangkan kalendar Islam dan membangun pentadbiran dan pengurusan yang baik dalam pemerintahan Islam. Beliau juga orang pertama yang mencetuskan idea tentang perlunya dilakukan pengumpulan ayat-ayat al-Quran. Selain itu, beliau seorang yang berani melakukan ijtihad dengan tetap menjunjung tinggi prinsip-prinsip mesyuarat.

Sebagai seorang khalifah, hidup Umar benar-benar diabadikan untuk mencapai keredaan Allah SWT. Beliau berjuang untuk rakyat. Sukar mencari seorang pemimpin yang benar-benar prihatin terhadap rakyatnya. Pada waktu malam, beliau kerap menyamar untuk melakukan rondaan di sekitar kota Madinah. Beliau ingin melihat sendiri keadaan rakyatnya. Beliau tidak mahu ada dalam kalangan rakyatnya menderita.

Seperti biasa, pada suatu malam, Umar menyamar dan meronda bersama-sama pembantunya, Aslam. Tiba-tiba, beliau ternampak satu cahaya yang berkelip-kelip dari satu tempat. “Mari kita ke sana, Aslam. Mungkin ada musafir yang bermalam di situ,” kata Umar lalu melangkah laju.

Mereka pun menuju ke tempat itu. Di situ, mereka manyaksikan satu pemandangan yang menyayat hati. Kelihatan seorang ibu sedang menjerang sesuatu di atas tungku sambil dikelilingi oleh beberapa orang anak kecil yang sedang menangis.

Umar al-Khattab menghampiri ibu itu lalu bertanya, “Mengapa anak-anak ini menangis?”
“Anak-anak ini kelaparan, tuan,” jawab ibu itu.
“Apa yang sedang kamu jerang itu?” tanya Umar lagi.
Dalam kesedihan, ibu itu menjawab, “Di dalam periuk ini hanya ada air dan batu-batu sahaja. Saya sengaja berbuat begini dengan harapan anak-anak ini akan terlalai. Mudah-mudahan setelah penat menangis, mereka akan tertidur.”

Mendengar  kata-kata ibu itu, Umar sungguh terharu. Beliau segera mengajak Aslam meninggalkan tempat itu lalu menuju ke baitulmal. Beliau seterusnya mengambil seguni gandum dan lemak untuk diberikan kepada ibu tadi. Beliau mengangkat sendiri guni gandum yang hendak diberikan kepada ibu itu. Beliau tidak mahu menyusahkan Aslam kerana beliau benar-benar berasakan itu adalah tanggungjawabnya.

Pada mulanya, Aslam enggan meletakkan guni gandum itu di atas belakang beliau. Aslam enggan berbuat demikian kerana itu adalah tugasnya. Keengganan itu menyebabkan Umar menjadi marah.

“Aslam! Kamu tidak akan memikul dosaku di akhirat nanti. Cepat! Letakkan guni ini di atas belakangku,” kata Umar dengan tegas. Mahu tidak mahu, Aslam terpaksa mengikut kehendak khalifahnya itu. Apabila sampai di tempat ibu tadi, Umar segera memasak roti.  

Setelah roti-roti  itu masak, beliau memberikannya kepada ibu dan anak-anak yang sedang kelaparan itu. “Berilah anak-anak ini makan sehingga mereka kenyang,” kata Umar dengan belas kasihan.
Ibu itu sangat bersyukur dan berterima kasih di atas bantuan yang diberikan kepadanya.
“Semoga Allah SWT akan membalas jasa tuan. Sesungguhnya, tuan lebih layak memegang jawatan Amirul Mukminin daripada Umar al-Khattab,” kata ibu itu.

Beliau hanya tersenyum mendengar kata-kata ibu itu. Walaupun ibu itu tidak mengenalinya, hatinya puas kerana dapat menjalankan tugasnya sebagai Amirul Mukminin pada malam itu. Beliau sering melawat ke tempat-tempat yang jauh dari Madinah seperti Syam, Mesir, Bahrain, Kufah, Basrah dan sebagainya. 

Beliau akan menghabiskan masa selama dua bulan di setiap tempat yang dilawati itu untuk meninjau keadaan penduduknya. Sebagai seorang ketua khalifah, beliau mementingkan kejujuran dan amanah. Malah, rakyat juga digesa supaya bersikap jujur. Beliau yakin kepimpinan melalui teladan yang ditunjukkannya akan membuahkan kejayaan akhirnya. Pernah suatu ketika, Umar sedang berjalan-jalan di suatu tempat yang berbukit-bukau, beliau ternampak seorang budak sedang mengembala kambing. 

Beliau mengampiri budak itu untuk menguji kejujurannya.
“Wahai anak! Bolehkah saya membeli seekor daripada kambing ini?” tanya beliau.
“Maafkan saya, tuan. Kambing-kambing ini bukan kepunyaan saya,” jawab budak itu.
“Kalau kamu jualkan kambing ini kepada saya, sudah tentu kamu akan mendapat wang. Saya akan beri wang yang banyak kepada kamu,” pujuk Umar 
dengan lembut. 

Budak itu mengeleng-geleng lalu berkata, “Tidak! Saya tidak akan menjualnya.”
“Kalau tuan kamu bertanya mengapa kambingnya kurang, katakan sahaja kambing ini telah lari ke belakang bukit dan mungkin sudah mati dimakan serigala,” pujuk beliau lagi.

“Benar. Memang saya boleh berkata begitu kerana tuan saya tidak tahu. Namun, Allah melihat apa yang saya lakukan,” jawab budak itu sambil memandang ke arah kambing-kambingnya. 
Berkali-kali Umar cuba memujuk, namun budak itu tetap dengan keputusannya dan tidak mahu menjualkan kambing tersebut. 

Beliau berasa bangga kerana budak itu sangat jujur. Umar lalu membawa budak itu kepada tuannya. Kemudian, Umar membeli budak itu dan membebaskannya. Semasa pemerintahan beliau, Palestin adalah sebahagian daripada wilayah Islam. Umar telah menulis surat kepada pemimpin Kristian Palestin yang berpusat di Baitulmuqaddis bahawa beliau akan menjaga keselamatan semua penduduk Kristian Palestin di situ. 

Tentera Islam tidak akan mengganggu kehidupan mereka. Mereka bebas menjalankan kegiatan agama mereka seperti biasa. Secara tidak langsung, Umar telah berjaya menjalinkan perdamaian dengan wilayah-wilayah di bawah pemerintahannya. Keadilan dan sistem syura yang diamalkan oleh Umar membuktikan beliau telah berjaya menjalankan tugasnya dengan baik. Sewaktu memilih calon untuk menggantikannya, para sahabat telah mencadangkan supaya anaknya, Abdullah dimasukkan dalam senarai enam orang yang dicalonkan itu.

Beliau dengan tegas telah menolak cadangan itu. Beliau hanya membenarkan anaknya menjadi pemerhati dalam pencalonan khalifah itu. Menurut beliau, jawatan khalifah bukan untuk dipusakai atau diwarisi, sebaliknya pemilihan hendaklah dilakukan secara demokrasi.

Umar al-Khattab kembali ke rahmatullah pada 26 Zulhijah, tahun 23 Hijrah bersamaan TM 644. Beliau meninggal dunia kerana menderita luka bekas ditikam oleh Abu Lu’luah ketika sedang menunaikan solat subuh di masjid. 

Setelah menikamnya sebanyak enam kali, Abu Lu’ luah cuba melarikan diri namun dihadang oleh ahli jemaah yang berada di belakang Umar. Abu Lu’luah yang bersenjatakan pisau bermata dua sempat menikam tiga belas orang sebelum membunuh diri.

Beliau meninggal dunia enam hari selepas kejadian itu. Ketika itu, Umar berusia 63 tahun dan  telah memerintah selama sepuluh tahun. Pemergian beliau ditangisi oleh rakyatnya kerana mereka masih memerlukan pimpinan beliau. Ali bin Abi Talib memandi dan mengkafankan Umar al-Khattab. Kemudian beliau berkata. “Demi Allah, orang yang diselubungi kain kafan ini begitu cinta untuk menemui Tuhannya.”

Jenazah Umar disembahyangkan di masjid dengan Suhaib menjadi imamnya. Kemudian disemadikan bersebelahan pusara Rasulullah SAW dan Abu Bakar as Siddiq. Umar al-Khattab telah meninggalkan banyak kemajuan. Corak kepimpinannya menjadi teladan kepada generasi selepasnya. Kota-kota peninggalannya pula masih dilihat sehingga ke hari ini. 
















Friday, March 2, 2018

KARYA TAHUN 2018

1. MUHAMMAD ALI - LEGENDA TINJU DUNIA
Muhammad Ali merupakan legenda tinju dunia dari Amerika Syarikat. Beliau dianggap antara peninju ‘heavyweights’ terhebat dalam sejarah sukan ini. Lahir dengan nama Cassius Marcellus Clay, beliau dikenali sebagai ‘The Greatest’ atau ‘Paling Hebat.’ Nama berkenaan dipilih sebagai mengingati kesengsaraan terhadap perhambaan orang kulit hitam pada kurun ke-19. Beliau kemudian menukar namanya pada tahun 1964. Sepanjang kariernya, Muhammad Ali dianggarkan menerima 29 ribu kali tumbukan lawannya. Terkenal dengan gaya menari sambil bertinju, Muhammad Ali dilahirkan di Louisville, Kentucky pada 17 Januari 1942. Beliau ialah Muslim pertama menjadi peninju dunia yang terkenal dalam kalangan umat Islam seluruh dunia, bukan sahaja kerana kehebatannya, malah juga kerana prinsipnya. Di kemuncak kerjayanya, Muhammad Ali dikatakan antara manusia paling terkenal di dunia. Bakat luar biasanya amat sesuai dengan rasa gah dan sombongnya yang melangit ketika mencabar lawan di gelanggang. “Saya paling hebat!” itulah ungkapan yang selalu lahir dari mulutnya. Beliau terlibat dalam beberapa perlawanan tinju yang bersejarah. Antaranya ialah pertarungan Liston pertama (1964), tiga kali dengan pesaing Joe Frazier (1971-1975), dan sekali dengan George Foreman (1974). Muhammad Ali berjaya melakukan transformasi ke atas negara ini dan meninggalkan impak besar dengan semangatnya. Kini, legasi beliau terlakar dalam sejarah dunia.

MUHAMMAD ALI - LEGENDA TINJU DUNIA
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Azlina Awang
MUHAMMAD ALI: Legenda Tinju Dunia / Azlina Awang
ISBN 978-983-0134-70-3
1. Muhammad Ali,--1942-2016--Juvenile literature--United States.
2. Boxers (Sports)--Biography--Juvenile literature--United States.
3. African American boxes. I. Judul.
796.83

2. WABAK RABIES
Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan wabak rabies atau penyakit anjing gila yang telah melanda negeri Sarawak. Serangan virus ini akan menyebabkan keradangan otak pada manusia dan mamalia lain. Kita sudah semestinya ingin mengetahui apakah rawatan untuk rabies serta langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti virus merbahaya ini.

Mungkin ramai antara kita yang tidak pernah mendengar mengenai penyakit tersebut sebelum ini, namun kini adalah masa yang sesuai untuk kita mengetahui lebih lanjut mengenainya. Meskipun Kementerian Kesihatan sedang giat menjalankan usaha mengekang penularan virus rabies, namun
orang ramai tidak seharusnya memandang remeh mengenai wabak anjing gila.

Buku WABAK RABIES memberi informasi tentang bahaya virus ini, punca-punca jangkitan,rawatan serta pencegahannya. Buku ini amat menarik kerana disertakan gambar foto berwarna bagi menambah lagi pemahaman  para pelajar. Ia juga dilengkapi latihan pemahaman bagi menguji minda. Semoga buku ini memberi manfaat kepada kita semua.

WABAK RABIES
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Azlina Awang, 1982-
WABAK RABIES / Azlina Awang.
ISBN 978-967-0187-44-0
1. Rabies. 2. Rabies in dogs.
3. Dogs--Virus diseases. I. Judul.
614.563

3. PENYAKIT KENCING TIKUS
Sejak kebelakangan ini, penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis semakin menular di negara kita. Akhbar-akhbar tempatan mula membangkitkan isu penyakit ini, malah ada yang mengatakan bahawa penyakit ini adalah penyakit baru dan misteri di Malaysia. Pendapat ini adalah salah! Leptospirosis bukanlah penyakit baru di Malaysia, tetapi ia merupakan penyakit yang jarang berlaku. 

Penyakit kencing tikus menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira golongan usia. Ia merupakan pembunuh senyap yang mana pada tahap paling kronik, ia mampu membuatkan kegagalan fungsi pada beberapa organ penting tubuh seperti ginjal dan hati. Rawatan penyakit kencing tikus haruslah diberi segera untuk mengelakkan ia melarat. Paling teruk, penyakit kencing tikus boleh membawa maut. 

Justeru, buku AWAS! LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS diterbitkan bagi memberi informasi lebih jelas tentang bahaya penyakit ini serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah diri kita daripada dijangkiti. Buku ringkas ini dilengkapi kosa kata serta latihan bagi menguji pemhaman para pelajar.

AWAS! LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Azlina Awang, 1982-
AWAS LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS / Azlina Awang.
ISBN 978-967-0366-56-2
1. Leptospirosis--Juvenile literature.
2. Leptospirosis in animals--Juvenile literature. I. Judul.
616.9


4. HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR
Kata-kata motivasi amat berpengaruh dalam kehidupan kita, misalnya dengan mendapatkan  kata-kata motivasi bijak sudah tentu hati kita akan lebih tersentuh dan lebih bersemangat agar menjadi lebih baik lagi. Kata-kata motivasi bukan hanya digunakan untuk memberikan semangat tetapi juga berguna untuk membuka pola pemikiran kita agar lebih maju dan rasional. Semoga buku HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR menjadi inspirasi serta dapat menyuntik semangat baru dalam menjalani kehidupan para pelajar.

HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR
Perpustakaan Negara Malaysia Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan
Azlina Awang, 1982-
ISBN 978-967-0135-61-8
1. Motivation (Psychology)--Quotations, maxims, etc.
2. Motivation (Psychology) in children.
3. Educational phychology. I. Judul.
153.8


KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...