Tuesday, January 15, 2019

BUKU CERITA TELADAN KANAK-KANAK

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Maknanya: Sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik.

Di sebuah hutan, tinggal sekumpulan haiwan dalam suasana yang aman dan damai. Mereka ialah ular, arnab, beruang, gajah, rusa, landak, ayam, kancil dan banyak lagi. Haiwan-haiwan ini hidup saling bersandaran antara satu sama lain. Mereka diketuai oleh Raja Serigala yang menjadi raja di situ. Raja Serigala memerintah dengan adil dan bijaksana.

Pada suatu hari, Raja Serigala telah mengumpulkan semua penghuni rimba itu di hadapan istananya. Baginda mahu memberitahu kepada rakyat jelata bahawa minggu hadapan akan diadakan gotong-royong membersihkan kawasan hutan.

“Wahai rakyat sekalian! Beta mahu kamu semua mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan hutan. Kita akan membina sebuah taman rekreasi baharu untuk kemudahan semua,” begitulah titah Raja Serigala kepada rakyat jelata.

Haiwan-haiwan itu tidak pernah membantah arahan Raja Serigala.

“Baiklah. Kami semua akan menurut perintah tuanku! Patik selaku pembesar tuanku akan memastikan aktiviti gotong-royong ini akan berjalan dengan lancar,” kata burung gagak menurut perintah.

Kemudian, setelah selesai Raja Serigala bertitah,  semua haiwan bersurai pulang ke rumah masing-masing. Mereka tidak sabar hendak mengadakan gotong-royong seperti yang diperintahkan oleh Raja Serigala.


Semua haiwan di hutan tersebut berkawan baik dan saling bantu-membantu kecuali burung merpati. Ia tidak suka bergaul dengan haiwan-haiwan lain. Burung merpati gemar hidup bersendirian. Baginya, hidup bersendirian lebih baik daripada mempunyai kawan. Ia haiwan yang sangat angkuh kerana mempunyai rupa yang cantik serta bulu yang putih bersih.

“Kawan-kawan hanya menyusahkan aku sahaja! Lebih baik aku hidup sendirian. Lebih senang. Segala yang aku miliki tidak perlu dikongsi dengan orang lain,” begitulah pendapat burung merpati.

Sejak dahulu, burung merpati tidak suka bergaul dengan haiwan-haiwan lain termasuklah jiran-jirannya. Ia juga tidak suka jika ada tetamu yang datang bertandang ke sarangnya.

“Ada apa engkau datang ke rumahku?” soal burung merpati sebaik-baik sahaja melihat kelibat burung gagak. “Lebih baik engkau pulang sahaja. Jangan mengganggu kehidupanku!”

“Begini, Raja Serigala memerintahkan kita semua untuk mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan hutan,” beritahu burung gagak.

“Gotong-royong? Engkau tidak nampakkah aku sedang sibuk?” marah burung merpati. “Lagipun, aku tidak suka menyertai perkara yang tidak mendatangkan faedah! Jika aku menyertai gotong-royong tersebut, aku hanya akan mendapat penat. Tetapi, jika aku bersiar-siar, aku akan mendapat makanan yang banyak.”

Setiap kali diadakan gotong-royong, begitulah jawapan yang selalu diberikan oleh burung merpati. Namun, burung gagak tetap tidak berputus asa.

“Suka hati engkaulah, burung merpati. Tetapi aku nasihatkan lebih baik engkau hadiri gotong-royong itu. Banyak manfaat yang akan diperoleh nanti,” kata burung gagak lalu menggeleng-geleng.

Kemudian, burung gagak pun beredar dari situ. Ia faham benar sikap burung merpati yang tidak pernah berubah dan hanya mementingkan diri sendiri. Namun, perkara tersebut tidak pula diberitahu Raja Serigala kerana bimbang burung merpati akan dimurkai.

Hari yang dinanti-nanti pun tiba. Semua haiwan datang dengan penuh bersemangat. Masing-masing membawa peralatan untuk membersihkan kawasan. Raja Serigala berasa beruntung mempunyai rakyat seperti mereka.

Baginda sungguh gembira pada hari itu. Gotong-royong itu berjalan dengan lancar. Masing-masing telah menjalankan tugas dengan baik. Raja Serigala memerhati seekor demi seekor rakyatnya.

“Beta sungguh bangga mempunyai rakyat jelata seperti kalian. Beta berharap tradisi bekerjasama ini akan diteruskan hingga ke masa akan datang,” titah Raja Serigala.

Haiwan-haiwan tersebut berasa bangga mendapat pujian daripada Raja Serigala. Mereka turut berazam akan terus mengekalkan suasana kehidupan yang aman, damai, harmoni dan saling bekerjasama.

Dalam keramaian tersebut, ternyata burung merpati tidak hadir. Nasibnya agak baik kerana Raja Serigala tidak menyedarinya. Namun, burung gagak tahu burung merpati tidak ada bersama.

Burung gagak mendiamkan diri kerana bimbang burung merpati akan dihukum oleh Raja Serigala. Kerja-kerja membersihakan kawasan hutan hampir siap. Hari sudah mulai petang. Haiwan-haiwan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. Pulang sahaja dari gotong-royong tersebut, burung gagak terus menuju ke rumah burung merpati.

Apabila sampai di rumah burung merpati, burung gagak memanggilnya beberapa kali namun tiada sahutan. Ia tahu burung merpati ada di dalam sarangnya. Ia terus memanggil haiwan itu beberapa kali.
“Ada apalagi engkau datang ke sini? Aku tak suka sesiapa datang ke sini!” marah burung merpati.

Burung gagak terperanjat dengan sikap burung merpati.

“Engkau tetap tidak berubah, burung merpati,” kata burung gagak berasa kesal.

Burung merpati tidak menghiraukan burung gagak. Ia terus menutup pintu rumahnya dengan kuat. Burung gagak pun pulang ke rumahnya. Ia sungguh kesal diperlakukan sedemikian rupa. Namun, burung gagak dan haiwan-haiwan lain tidak pernah menyimpan dendam terhadap burung merpati. Mereka tetap menganggap burung merpati sahabat mereka.

Pada suatu hari, ketika mencari makanan di hutan, burung merpati terserempak dengan sang kancil dan ayam yang juga sedang mencari makanan.

“Eh, burung merpati, apa yang kamu lakukan di sini?” sapa sang kancil.

“Mencari makananlah. Apa, engkau fikir engkau sahaja yang boleh cari makanan di sini?” agak tinggi nada suara burung merpati.

“Aku cuma bertanya, burung merpati. Aku tidak pula menyatakan engkau salah mencari makanan di sini,” kata sang kancil.

“Kenapa engkau tidak menghadiri gotong-royong membersihkan kawasan hutan baru-baru ini?” soal ayam pula.

Burung merpati kurang senang dengan pertanyaan itu. Tanpa memandang wajah kedua-dua ekor sahabat itu, burung merpati menjawab, “Aku benci kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah. Lagipun, ia hanya membuang masa!”

“Engkau tidak boleh terus bersikap begini. Kita harus saling bekerjasama dan bantu-membantu. Hidup bermuafakat sangat penting untuk mewujudkan suasana yang harmoni,” nasihat sang kancil.

“Ah! Engkau jangan pandai nak menasihati aku! Engkau saja yang pergi gotong-royong itu!” marah burung merpati lalu terbang dari situ.


“Ia tetap tidak berubah,” kata ayam kepada sang kancil.

“Tak mengapalah. Aku yakin, suatu hari nanti burung merpati tentu sedar akan sikap angkuh dan mementingkan diri sendirinya,” kata sang kancil.

Kedua-dua ekor haiwan tersebut terus mencari makanan di tepi danau.

Dalam perjalanan pulang ke rumah, burung merpati terserempak pula dengan jirannya, iaitu burung belatuk.

“Wah! Banyak engkau dapat makanan hari ini,” tegur burung belatuk.

“Ya... aku rajin, beginilah hasilnya,” kata burung merpati lalu menunjukkan makanan yang diperolehnya.

“Berilah sedikit kepadaku. Anakku di rumah sedang sakit. Aku tidak boleh terbang jauh kerana tiada yang menjaga anakku,” pinta burung belatuk.

“Tidak! Aku tidak akan berikan makanan ini kepada sesiapa pun. Sudah berapa kali aku katakan. Engkau tidak perlu menghadiri gotong-royong atau majlis keramaian. Aktiviti itu hanya membuang masa. Lebih baik engkau mencari makanan sebanyak mungkin,” sindir burung merpati.

“Bukankah hidup bermasyarakat itu sangat penting?” soal burung belatuk.

“Ah! Bagiku ia hanya membuang masa. Engkau lihatlah aku sekarang. Di rumahku terlalu banyak makanan. Aku tidak perlukan hidup bermasyarakat. Aku boleh mencari makananku sendiri,” kata burung merpati dengan bongkak.

Burung belatuk berasa sungguh sedih. Ia pun terbang pulang ke rumah.

Pada suatu hari, Raja Serigala mengumpulkan semua rakyat jelatanya. Seperti biasa, semua rakyat berkumpul dengan segera kecuali burung merpati.

“Dua hari lagi, kita akan mengadakan gotong-royong membina taman rekreasi baharu. Beta mahu kalian bekerjasama membinanya. Kerjasama antara kita semua amat penting. Segala kerja akan menjadi lebih mudah dan lancar,” titah Raja Serigala.

Rusa, kancil, arnab, beruang, ular serta haiwan-haiwan lain berasa gembira dengan berita tersebut. Mereka sudah tidak sabar hendak membina taman rekreasi baharu itu.

“Bolehlah anak-anak kita bermain di taman itu nanti,” kata beruang kepada rusa.

“Benar. Mungkin dengan adanya taman rekreasi ini, anak-anak kita dapat bermain dengan selamat kerana menurut Raja Serigala, akan dibina benteng keselamatan kerana taman itu bakal dibina berhampiran sungai,” balas rusa.

Setelah selesai Raja Serigala bertitah, haiwan-haiwan tersebut pun bersurai. Mereka sudah tidak sabar menunggu hari gotong-royong tersebut. Kali ini, burung gagak tidak ke rumah burung merpati. Sebaliknya, ia menyuruh burung belatuk menyampaikan berita tersebut.

“Oleh kerana engkau tinggal berhampiran dengan rumah burung merpati, apa kata engkau pula yang memujuknya supaya datang pada hari gotong-royong nanti,” ujar burung gagak.

“Aku akan cuba walaupun aku tahu burung merpati akan memarahiku,” kata burung belatuk.

Ia tahu burung merpati tidak akan datang pada hari gotong-royong itu nanti. Tetapi, sekurang-kurangnya ia akan tetap memujuknya.

“Apa? Engkau nak suruh aku menghadiri gotong-royong membina taman? Tidak! Tidak! Itu kerja yang memenatkan. Aku tidak akan membuang masaku di sana,” kata burung merpati berasa kurang senang dengan kehadiran burung belatuk ke rumahnya.

“Tapi, itu titah daripada Raja Serigala. Kita wajib laksanakannya dengan baik. Lagipun, kerja yang berat akan menjadi ringan kalau kita semua bersatu hati membinanya,” ujar burung belatuk dengan harapan burung merpati akan menghadiri gotong-royong tersebut.

Oleh kerana mahukan burung belatuk pulang cepat, burung merpati pun berkata, “Baiklah. Jika tidak ada aral melintang, aku akan sampai ke sana.”

Burung belatuk berasa lega mendengar kata-kata burung merpati. Namun, ia tidak tahu bahawa itu helah burung merpati sahaja. Burung belatuk pulang ke rumah dengan gembira. Kemudian, berita tersebut disampaikan kepada burung gagak, pembesar Raja Serigala.

Alangkah gembira hati burung gagak. Sangkaannya burung merpati sudah berubah dan bersama-sama akan membina taman rekreasi itu.

Pada hari gotong-royong tersebut, semua haiwan datang dengan peralatan masing-masing. Sang gajah membawa cangkul. Sang beruang memikul kampit tanah, sang kura-kura, sang arnab dan sang tikus pula mengangkut batu. Raja Serigala gembira melihat kerjasama yang ditunjukkan oleh rakyatnya.

“Bagus… bagus! Beta sungguh gembira pada hari ini. Tidak sia-sia beta memerintah rimba ini. Amalan gotong-royong ini perlu dikekalkan,” titah Raja Serigala.

“Begitulah, tuanku. Hamba akan pastikan suasana harmoni ini akan berterusan sampai bila-bila,” kata burung gagak dengan yakin.

Namun, ia tidak melihat kelibat burung merpati. Hatinya resah. Bukankah burung merpati akan datang ke situ? Ia menyoal dirinya.

“Eh, engkau ada nampak burung merpati?” tanya burung gagak kepada burung belatuk.

“Tidak. Saya tidak nampak burung merpati. Tetapi saya sudah menyampaikan utusan ini kepadanya,” jawab burung belatuk dengan jujur.

“Mungkin ia terlupa hendak datang ke sini,” duga burung gagak.

“Kalau begitu, marilah kita menyambung kerja,” kata burung gagak.

“Baiklah,” sahut burung belatuk.

Ia terus mematuk-matuk tanah untuk dijadikan lubang. Arnab dan tikus pula akan menyusun batu di dalam lubang tersebut.

Kerja-kerja membina taman rekreasi itu semakin siap. Taman tersebut tersergam indah dibina daripada tanah dan susunan batu sebagai benteng keselamatan. Taman tersebut sengaja dibina di tepi kolam kerana memudahkan anak-anak angsa untuk bermain selain haiwan air yang lain seperti katak dan ikan. Setelah sehari suntuk bekerja, sebuah taman indah telah siap didirikan.

Sebelum bersurai, Raja Serigala memuji-muji sikap rakyatnya.

“Semangat inilah yang beta mahukan. Dalam masa sehari sahaja, kita telah berjaya membina sebuah taman rekreasi yang sungguh indah,” titah Raja Serigala.
Semua haiwan itu bersorak gembira.

Setelah semuanya selesai, burung gagak mengajak burung belatuk ke rumah burung merpati. Ia hendak melihat sama ada burung merpati ada di rumah atau pun tidak. Ia juga hendak mengetahui mengapa burung merpati tidak menghadiri gotong-royong sebentar tadi.

Malangnya, pintu rumah burung merpati berkunci. Sudah puas burung belatuk dan burung gagak memanggilnya tetapi tidak berjawab.

“Burung merpati... oh burung merpati!” burung gagak memanggil burung merpati. 

Namun, tetap tiada jawapan. Akhirnya, burung gagak mengajak burung belatuk beredar dari situ.
“Mungkin ia keluar mencari makanan,” duga burung belatuk.

“Mungkin juga. Marilah kita pulang,” kata burung gagak berasa hampa.

Sebenarnya, burung merpati ada di dalam rumahnya. Ia sengaja tidak mahu membuka pintu kerana bimbang burung gagak dan burung belatuk akan mengajaknya menyertai gotong-royong lagi.

Belum sempat burung belatuk dan burung gagak pergi, kelihatan asap berkepul-kepul keluar dari bahagian belakang rumah burung merpati.

“Eh, rumah burung merpati terbakar! Rumah burung merpati terbakar!” teriak burung belatuk.

“Mari kita tolong selamatkannya! Biar aku panggilkan semua penghuni rimba!” jerit burung gagak.

Burung gagak pantas terbang untuk memberitahu khabar buruk itu.

“Tolong! Tolong! Tolong! Api! Api!”  tiba-tiba kedengaran suara burung merpati menjerit dari dalam rumahnya.

“Eh, bukankah itu suara burung merpati?” soal burung belatuk kepada dirinya. “Aku mesti selamatkannya.”

Tidak lama kemudian, kelihatan semua haiwan datang untuk menyelamatkan rumah burung merpati. Burung merpati bernasib baik kerana berjaya diselamatkan oleh rakan-rakannya. Rumahnya juga berjaya diselamatkan dengan bantuan jiran dan haiwan-haiwan lain.

Burung merpati berasa sangat malu dan menyesal kerana selama ini ia tidak pernah bercampur dengan haiwan-haiwan lain. Sekarang barulah ia sedar betapa hidup berjiran itu amat penting.

“Saya mengucapkan terima kasih kerana menyelamatkan nyawa saya. Kalau kamu semua tidak ada, sudah tentu saya sudah tiada lagi di dunia ini,” kata burung merpati dengan sedih.

“Itulah pentingnya kita hidup berjiran dan tolong- menolong. Kita tidak boleh hidup bersendirian,” kata burung gagak.

Haiwan-haiwan lain mengangguk-angguk mendengar kata-kata burung gagak.

Sejak hari itu, burung merpati tidak sombong lagi. Ia mula berkawan dengan haiwan-haiwan lain. Ia juga gemar membantu haiwan-haiwan yang susah. Mereka mencari makanan bersama-sama. Jika burung merpati mendapat makanan lebih, pasti ia akan memberikan sedikit kepada haiwan lain. Begitulah sebaliknya. Mereka juga akan bertukar-tukar makanan.

Setiap kali diadakan gotong-royong, burung merpatilah haiwan pertama yang akan sampai di tempat itu.  Malah, ia turut mencadangkan beberapa projek gotong-royong dan pesta keramaian di rimba itu. Perubahan burung merpati itu disenangi oleh semua haiwan terutamanya burung gagak dan burung belatuk.

Berita buruk menimpa burung merpati diketahui juga oleh Raja Serigala. Baginda menasihatkan kepada rakyatnya supaya sentiasa bersatu hati dalam apa jua keadaan.

“Kejadian ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita semua. Beta tidak mahu ada dalam kalangan kalian hanya mementingkan diri sendiri, suka memencil diri. Ketahuilah bahawa hidup bermuafakat akan membawa berkat,” titah Raja Serigala mengakhiri kata-katanya.

Sejak itu, mereka hidup dalam suasana yang aman, damai dan menyenangkan.


No comments:

Post a Comment

KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...