ISLAMIC STORY BOOK
Sumayyah Khayyat (Wanita Pertama Mati Syahid)
Sumayyah binti Khayyat ialah wanita pertama yang mati syahid, mempertahankan agama Allah. Beliau merupakan hamba kepada Abu Huzaifah bin Al-Mughirah, iaitu seorang pembesar Quraisy.
Beliau yang merupakan anak yatim piatu telah menetap bersama Abu Huzaifah sejak dari kecil lagi.
Beliau mempunyai perwatakan lemah lembut, sopan santun dan sangat baik. Sumayyah juga seorang hamba yang taat kepada tuannya. Walaupun beliau seorang hamba berkulit hitam, beliau cukup disegani orang ramai.
Sumayyah sekeluarga merupakan antara individu yang terawal memeluk agama Islam yang dibawa oleh junjungan besar, Nabi Muhammad SAW di Mekah. Kisah beliau yang masih dikenang adalah saat beliau sekeluarga ditangkap oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya.
Dengan ketabahan hati Sumayyah sekeluarga serta taat setia mereka kepada Islam, mereka tidak gentar dengan seksaan-seksaan yang dilakukan oleh Abu Jahal dan kuncu-kuncunya. Sumayyah telah berkahwin dengan Yasir bin Amir. Ketika itu, mereka menetap di Mekah.
Yasir telah menjalinkan persahabatan dengan Abu Huzaifah bin Mughirah. Tidak lama kemudian, Abu Huzaifah pun mengahwinkan Yasir dengan Sumayyah.
Rumah tangga Yasir dan Sumayyah sangat harmoni. Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki, Ammar dan Ubaidillah. Setelah itu, Abu Huzaifah bin Mughirah, iaitu sahabat Yasir pun membebaskan Sumayyah.
Masa berlalu. Usia anak-anak menginjak dewasa. Pasangan Yasir dan Sumayyah juga semakin tua. Ketika inilah Islam menampakkan sinar di kota Mekah. Agama yang dibawa oleh al-Amin Muhammad SAW ini menarik perhatian seluruh isi kota.
Bagi masyarakat bangsawan Quraisy yang menyembah Lata dan Uzza (nama berhala sembahan), kemunculan agama baharu adalah pengkhianatan kepada tradisi nenek moyang mereka.
Namun bagi masyarakat kelas bawahan, Islam adalah dimensi baharu bagi mereka kerana agama itu antaranya, menyeru kepada mengesakan Yang Satu dan menolak perbezaan kelas.
Ammar adalah antara orang yang tertarik kepada ajaran Islam. Dia mengumpul banyak pemikiran baharu mengenai agama yang menjadi bualan ramai di kota itu. Perasaan ingin tahu menarik pemuda itu ke rumah al-Arqam, yang menjadi markas Rasulullah SAW menyampaikan dakwah.
Dia mengetepikan rasa bimbang jika langkahnya dijejaki oleh orang Quraisy. Ajaran Rasulullah SAW benar-benar berkesan dan sebaik-baik melangkah keluar dari rumah al-Arqam, Ammar sudah menjadi seorang Muslim!
Pemuda itu kembali ke rumah dengan dada lapang. Dia menceritakan kepada ibu bapanya mengenai pengalaman hebatnya itu. Dia berdakwah pula kepada mereka mengenai erti Islam dan mengajak orang tua itu mengikut jejak langkahnya. Akhirnya Yasir dan Sumayyah bersetuju dan kedua-duanya memeluk agama Allah SWT itu.
Ketika Islam mula tersebar di kota Mekah dan Rasulullah SAW baru mendapat perintah untuk menyebarkan Islam secara senyap-senyap, Sumayyah dan keluarganya termasuk generasi pertama yang memeluk Islam.
Beliau adalah orang yang ketujuh yang menyatakan keislaman ketika itu. Selain Khadijah r.a., beliaulah wanita yang mula-mula masuk Islam. Sejak itu, bermulalah lembaran baharu dalam hidup Yasir dan Sumayyah.
Sumayyah adalah orang ketujuh yang memeluk Islam. Berada dalam naungan Islam, beliau merasakan kelazatan iman dan kekuatan pegangan. Mereka sekeluarga sedar risiko jika hal itu diketahui oleh suku Bani Makhzum. Tetapi mereka tidak takut, sebaliknya secara terang-terangan mengumumkan pengislaman mereka.
Seperti masyarakat Islam yang lain, ketika itu Sumayyah terpaksa menjalankan perintah Allah SWT secara rahsia kerana bimbang diketahui oleh orang Quraisy. Mereka menunaikan solat di rumah atau di gua-gua agar tidak dapat dikesan oleh kaum kafir Quraisy.
Walau bagaimanapun, kaum Quraisy dapat mengesan keislaman Sumayyah. Bukan beliau sahaja, kaum Muslimin yang lain juga dibawah ancaman kaum Quraisy. Jika kaum Muslimin itu termasuk golongan bangsawan dan berpengaruh, mereka menghadapi ancaman dan ugutan. Abu Jahal telah membuat ugutan.
“Kamu berani meninggalkan agama datuk moyang kamu, walhal mereka lebih baik daripadamu! Kami akan uji sejauh mana ketahananmu. Kami akan jatuhkan maruah dan kehormatanmu, kami akan rosakkan perniagaanmu dan kami akan musnahkan harta bendamu!” demikianlah kata Abu Jahal.
Jika orang yang beriman itu datang daripada golongan orang kebanyakan, rakyat jelata yang rendah martabatnya dan miskin atau daripada golongan hamba, mereka akan diseksa dan didera sehingga mereka meninggalkan ajaran agama Islam.
Keluarga Sumayyah termasuk dalam golongan yang kedua ini. Mereka adalah golongan lemah yang tidak memiliki apa-apa. Mereka juga bukan dari golongan bangsawan atau berpengaruh.
Sumayyah tidak mempunyai saudara yang ramai. Begitu juga dengan Yasir yang hanya perantau dan pendatang yang berasal dari Yaman. Sumayyah pula adalah bekas hamba sahaya. Kedudukan mereka itu sungguh tidak bererti buat kaum Quraisy.
Berbeza dengan kedudukan kaum Muslimin dalam Islam. Di sisi Allah SWT, semuanya sama sahaja. Tidak ada yang membezakan manusia di hadapan Allah SWT kecuali keimanan dan ketakwaannya.
Dengan prinsip itulah, Sumayyah berani menentang firaun ketika itu, iaitu Abu Jahal. Akibatnya, bukan diri beliau sahaja, malah suami dan anaknya turut menjadi mangsa kekejaman Abu Jahal. Sumayyah sekeluarga ditangkap dan diseksa. Mereka dijemur di padang pasir yang panas menyengat.
Sumayyah diletakkan batu besar di dadanya. Beliau dipaksa supaya keluar daripada Islam dengan segera. Tetapi wanita itu tidak berganjak daripada keputusannya. Sebaliknya bibirnya teguh melafazkan kata-kata, “Ahad! Ahad, Ahad!”
Ahad bermaksud Allah Yang Satu.
Mereka turut diseksa dengan diikat kaki dan tangannya lalu dicampakkan ke atas kerikil tajam dan panas. Di atas kerikil itulah mereka mendera Yasir dan Ammar agar murtad.
Walaupun diseksa sedemikian rupa, Yasir dan Ammar hanya mendiamkan diri. Seksaan yang dialami oleh Ammar dilukiskan oleh sahabat-sahabatnya dalam beberapa riwayat.
Amar bin Hakam r.a. mengatakan dalam sebuah riwayatnya bahawa: “Ammar diseksa sehingga beliau tidak menyedari apa yang telah diucapkannya.”
Ammar bin Maimun r.a. pula berkata, “Orang musyrik membakar Ammar bin Yasir dengan api.”
Ketika Rasulullah SAW lalu ditempatnya, baginda memegang kepalanya dengan tangan sambil bersabda, “Wahai api, jadilah kamu sejuk di tubuh Ammar sebagaimana dulu kamu sejuk di tubuh Ibrahim!”
Sejak itu, orang Quraisy tetap menghukumnya. Mereka menghabiskan sekuat tenaga untuk memuaskan kezaliman dan kekejamannya. Bukan itu sahaja, mereka turut menyalibnya di atas pasir panas dengan ditindih batu besar umpama bara merah.
Mereka juga ditenggelamkan ke dalam air sehingga sesak nafas dan mengelupas kulitnya yang penuh dengan luka. Pada hari itu, ketika Ammar tidak sedarkan diri kerana seksaan yang amat berat, mereka telah menyeksanya dengan mengatakan, “Pujalah tuhan-tuhan kami!”
Tanpa disedari, Ammar telah mengikut apa yang mereka arahkan. Sebaik sahaja siuman, Ammar telah menyedari apa yang diucapkannya sebentar tadi. Beliau sangat menyesal. Beberapa orang sahabat yang mengetahui perkara itu segera menceritakan kepada Rasulullah SAW sehingga baginda bertanya kepada Ammar.
“Orang kafir itu telah menyeksa kamu dan membenamkan engkau ke dalam air sehingga engkau mengucapkan begini?” tanya Rasulullah SAW kepada Ammar.
“Benar, Rasulullah SAW” jawab Ammar lalu meratap. Rasulullah SAW bersabda lalu tersenyum, “Jika mereka memaksa engkau lagi, tidak apa. Ucapkanlah apa yang kamu ucapkan tadi.”
Rasulullah SAW pun membaca firman Allah SWT yang bermaksud:
“...kecuali orang yang dipaksa, sedangkan hatinya tetap teguh dalam keimanan.”
Sejak itu, Ammar berasa tenang. Beliau menghadapi cubaan dan seksaan itu dengan ketabahan yang luar biasa sehingga mereka terus menyeksanya.
Berlainan pula dengan Sumayyah. Abu Jahal tidak berjaya untuk mengembalikan beliau ke jalan yang murtad. Sumayyah memilih untuk mempertahankan imannya walau apapun yang terjadi.
Mendengar cabaran dan tentangan Sumayyah, Abu Jahal amat marah seperti orang kehilangan akal sehingga Abu Jahal berasa terhina kerana seorang wanita lemah berani menentangnya.
Abu Jahal berasa maruah dan martabatnya jatuh sebagai seorang tokoh Quraisy yang benar-benar dipersendakan. Kemarahan Abu Jahal semakin menggelegak.
Puncak kemarahannya terjadi ketika beliau mengangkat tombak dan menghujamkannya ke dada Sumayyah. Sumayyah tewas dan menemui Allah SWT sebagai syahidah.
Pengorbanan Sumayyah itu tidak sia-sia. Beliau tidak ubah seperti azimat yang akan menghantarkan dirinya dan orang yang memiliki keyakinan bagai karang di gerbang syurga.
Beliau akan menjadi teladan yang akan mengisi hati orang yang beriman dengan rasa simpati, kebanggaan dan kasih sayang. Beliau akan menjadi pedoman bagi generasi-generasi akan datang untuk mencapai hakikat, kebenaran dan kebesaran agama Allah SWT.
Pengorbanan ini juga merupakan tanda bakti dan keteguhan iman seseorang. Pengorbanan seseorang bagi agamanya merupakan neraca keimanannya. Besar kecil iman seseorang bergantung kepada seberapa besar kemahuan dan kesediaannya untuk berkorban.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Apakah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan, “Kami telah beriman” walhal mereka belum lagi di uji?”
Begitulah al-Quran memberi petunjuk. Rasulullah SAW selalu mengunjungi tempat-tempat penyeksaan keluarga Yasir untuk mengenang pengorbanan mereka.
Kesabaran keluarga Yasir yang sangat luar biasa menyebabkan Rasulullah SAW berdoa dalam sabdanya yang bermaksud:
“Bersabarlah keluarga Yasir. Sesungguhnya balasan kalian adalah syurga.”
Dalil ini menunjukkan jaminan Rasulullah SAW kepada mereka sekeluarga sebagai penghuni Syurga Jannatun Naim. Akhirnya dengan balingan lembing oleh Abu Jahal, mereka sekeluarga gugur mati syahid dan Sumayyah merupakan wanita pertama Islam yang gugur mati syahid.
Penderitaan Sumayyah dikenang oleh seluruh masyarakat Islam.
Beliau dianggap sebagai simbol pengorbanan orang Islam yang tidak gentar kepada ugutan dan kematian kerana menegakkan Islam. Hari demi hari, Islam semakin diterima ramai.
Penghijrahan orang Islam ke Yathrib (Madinah) membuka era baharu dalam dakwah Rasulullah SAW. Umat Islam semakin kuat dan dalam Perang Badar, pembunuh Sumayyah, iaitu Abu Jahal menemui ajal.
Rasulullah SAW menemui Ammar dan berkata kepada anak muda itu, “Allah telah membunuh si pembunuh ibumu.” Ammar berasa sebak tetapi dia tahu ibunya pasti selamat di syurga.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
KARYA TAHUN 2019
1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...
-
MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT Maknanya: Sesuatu kerja yang dilakukan dengan persetujuan bersama akan menghasilkan sesuatu yang baik. Di sebu...
-
ISLAMIC STORY BOOK Sumayyah Khayyat (Wanita Pertama Mati Syahid) Sumayyah binti Khayyat ialah wanita pertama yang mati syahid, memper...
-
HONG KONG Hong Kong - March 2015 Hong Kong - March 2015 Kwai Tsing Hong Kong terdiri daripada Pulau HK, Kowloon dan New Ter...
-
1. KOLEKSI TELADAN SAHABAT ALAM Koleksi Teladan Sahabat Alam mengisahkan haiwan-haiwan di hutan yang diadaptasikan daripada kisah kehidupan...
-
KOTA BANDUNG Sejuk dan dingin kerana dikelilingi oleh pergunungan. Itulah Kota Bandung. Dahulu kononnya Bandung merupakan danau purba yang ...
-
Nama : Azlina Awang Pendidikan : Methodist English School (1989 - 1999) Universiti Teknologi Mara (UiT...
-
1. MARTABAT BANGSA MELAYU Masyarakat Melayu adalah salah satu komponen dari bangsa Malaysia. Kebanyakan adalah penduduk setempat yang telah...
-
1. PASUKAN KADET BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat Malaysia disediakan bertujuan memberi bimbingan d...
-
KARYA 2018 1. MUHAMMAD ALI - LEGENDA TINJU DUNIA Muhammad Ali merupakan legenda tinju dunia dari Amerika Syarikat. Beliau dianggap antara...
No comments:
Post a Comment