Saturday, January 6, 2018

KEMBARA HONG KONG

HONG KONG


Hong Kong - March 2015

Hong Kong - March 2015

Kwai Tsing
Hong Kong terdiri daripada Pulau HK, Kowloon dan New Territories jika di lihat dari selatan. Di sebelah utara New Territories terdapat kota Shenzhen. Di antara 236 pulau HK, Pulau Lantau adalah yang terbesar. Pada 1 Julai 1997, HK secara rasminya diserahkan oleh pemerintah Britain kepada Republik Rakyat Cina. HK adalah metropolitan global dan pusat kewangan dan mempunyai satu ekonomi kapitalis yang sangat maju. Kebanyakan rakyat di Hong Kong bertutur dalam bahasa Kantonis dan fasih berbahasa Inggeris. Hong Kong menggunakan mata wangnya sendiri iaitu Hong Kong Dolar (HKD). Waktunya pula adalah hampir sama dengan waktu tempatan di Malaysia. Selain berperanan sebagai pusat kewangan, perbankan dan perdagangan utama dunia. Hong Kong juga berperanan sebagai pusat pelancongan yang terkenal di China. Terdapat banyak tempat menarik yang boleh anda lawati di Hong Kong. Waktu di Hong Kong sama dengan waktu kita di Malaysia.


MONG KOK
Mong Kok adalah daerah beli-belah dan kediaman yang paling sesak di Hong Kong. Jalan- jalan di sini dilimpahi lampu neon yang amat berbaloi untuk dilawati, semata-mata untuk ‘melihat manusia’. Kawasan ini merangkumi satu daripada pasar paling popular di Hong Kong, iaitu Ladies Market, yang mempunyai banyak jalan tempat membeli-belah. Mong Kok mempunyai jalan-jalan dan seksyen di jalan yang dikhaskan untuk menjual ikan emas, bunga, burung, kasut, barangan dapur dan pelbagai lagi. Hampir apa sahaja boleh didapati, daripada barangan rumah yang murah hinggalah barang kemas mewah yang dibeli, jual dan ditawar-menawar, di Mong Kok.  Sai Yeung Choi Street menjual barangan elektronik, kosmetik dan pakaian; Shantung Street dan Dundas Street adalah di mana anda boleh menemui fesyen dan aksesori terkini dari Jepun dan Barat; manakala Langham Place adalah satu daripada banyak kompleks di mana anda boleh membeli-belah di dalam keselesaan pendingin hawa.

Mong Kok
Pengalaman Penulis: Saya berkunjung ke Hong Kong pada Mei 2015. Saya tinggal di hotel Yuen di Mong Kok selama lima hari dengan kadar sewa HKD700. Di sini, ada beberapa kedai halal dari Turki, India dan Pakistan. Walaupun begitu, saya masih was-was dengan tanda halal tersebut memandangkan ini kali pertama saya menjejaki kaki ke sini. Saya membawa bekalan roti, maggie dan sardin dari rumah.  Mengapa saya pilih untuk tinggal di Mong Kok? Kerana hotel di sini berhampiran dengan Stesen MRT. Jadi, mudah untuk saya ke mana-mana. MTR adalah cara paling mudah untuk ke mana-mana, walaupun trem dua tingkat tradisional Hong Kong juga murah untuk ke barat dari timur Pulau Hong Kong. Octopus Card, yang boleh digunakan untuk membayar tambang MTR, trem, bas dan feri dan sebagai kad tunai di kedai runcit dan restoran makanan segera, boleh dibeli di stesen MTR dan tempat lain. Kos untuk kad nilai-di dalam termasuk deposit HKD50. Tambang teksi bermula HKD20 di Pulau Hong Kong, HKD18.50 di Wilayah Baru dan HKD15 di Pulau Lantau.

SISTEM PENGANGKUTAN DI HONG KONG


Walaupun ada MRT, teksi masih digunakan
sebagai penghubung antara bandar.
Hong Kong memiliki sistem pengangkutan awam dalam bandar yang sangat moden dan efisien, sama seperti di Kuala Lumpur. MTR (Mass Transit Railway) di Hong Kong sangat laju dan selesa. Hanya dengan MTR saja kita mampu tour satu Hong Kong kerana MTR di sini menghubungkan semua tempat. Tunggu train pun tidak pernah lama.. paling lambat 3 minit.. hebat, bukan? Dan yang paling best, train tidak penuh sesak macam tempat kita. Sebab apa? Sebab di sini tidak dibanjiri oleh warga asing seperti di Malaysia, terutama di Kuala Lumpur. Semua di sini laju-laju. Orang HK berjalan laju-laju. Eskalator pun laju-laju.. masa itu emas.. yang ini saya memang suka!

Peta laluan MRT yang menghubngkan bandar-bandar
di Hong Kong.
Orang HK jalanya laju-laju. Mereka mengejar masa.
Di laluan pejalan kaki semasa menaiki tangga ada tertera
tulisan 'Fast & Slow'. Jadi bolehlah mengikut 
lorong masing-masing.

Stesen MRT Mong Kok, agak lengang kerana trainnya
sangat cepat dan laju.
Stesen MRT Mong Kok
Laluan bas beserta harga di Mong Kok yang
menghubungkan semua bandar.

Teksi lama masih digunakan di Hong Kong
menghubungkan bandar-bandar.

Teksi di bandar Hong Kong.

Pengalaman Penulis: Menaiki teksi lama ini dari HK Airport ke hotel di Mong Kok, Porland Street, lebih kurang 28 kilometer, dengan tambang sebanyak HKD230. Kalau duit kita lebih kurang separuhlah (semak kadar tukaran wang semasa). Teksi lama ini lebih besar, bahagian hadapan boleh duduk tiga orang. pemandunya peramah tapi tidak banyak membantu kerana tidak pandai berbahasa Inggeris. 

Tramways.
TRAMWAYS – Satu lagi wajib anda cuba ialah menaiki TRAM di Hong Kong. Kos untuk satu laluan sekitar HKD2.50 sahaja. Murah. Naik Tram dalam cuaca sejuk sambil layan pemandangan bandar Hong Kong.

Pengalaman penulis: Menaiki MRT dari Mong Kok ke bandar Tsim Sha Tsui, dengan kadar tambang yang murah, lebih kurang HKD20 (semak harga semasa). Ia sangat laju, kita akan sampai ke destinasi dalam beberapa minit sahaja. Kita juga boleh menggunakan kad Octopus (seperti kad touch N go). Ia lebih jimat dan cepat. 



LADIES MARKET
Ladies Market terletak di Tung Choi Street, Mong Kok berhampiran hotel saya menginap, lebih kurang 5 minit jalan kaki. Terdapat lebih 100 buah gerai menjual cenderahati, pakaian, aksesori telefon, beg dan pelbagai. Kenapa ia dipanggil Ladies Market? Kerana kebanyakan gerai di sini menjual pakaian dan aksesori wanita. Konsep jual beli, hampir sama seperti di Petaling Street, tawar menawar sehingga harga paling rendah, baru dapat. Contoh harga barang HKD480, tawar menawar sehingga menjadi HKD200. Apabila sudah murah, barulah kita membelinya. Selagi ia mahal, kita tengok sahaja. Saya membeli sebuah bag tangan yang pada asalnya berharga HKD350, selepas tawar menawar cuma HKD200 harganya. Cenderamata HK juga banyak dijual di sini. Anda boleh dapatkannya, kadangkala ada yang murah.


Pelbagai jenis barangan perhiasan wanita
senang didapati di Ladies Market.
Ladies Market diterangai lampu neon pada malam hari.

HONG KONG DISNEYLAND
Ini destinasi wajib pergi kalau sudah pijak Hong Kong. Hong Kong Disneyland terletak di Lantau Island. Tiket masuk seorang agak mahal, HKD499 (sila semak harga semasa). Kawasan ini agak luas dan terbahagi kepada beberapa bahagian. Bagi yang membesar dengan kartun2 disney, banyak watak terkenal di sini, boleh tengok live!! Jadi amat rugi kalau tidak rasa keseronokan di sini. Di sekitar HK Disneyland ini, kita boleh mengabadikan kenangan bersama karakter-karakter Disney.

Hong Kong Disneyland telah dibuka pada tahun 2005 dan ia tidak sebesar taman disneyland yang lain. Taman ini dibina oleh Walt Disney Company dan Pemerintah Hong Kong di Teluk Penny, Pulau Lantau. Terdapat beberapa taman tema di dalamnya seperti Main Street, Fantasyland, Adventureland, Tomorrowland dan Toy Story Land. Apabila berada di sini, anda seolah-oleh berada di dunia khayalan apabila ditemani dengan Mickey Mouse dan rakan-rakan Disney yang lain. 


Pintu masuk utama Disneyland.

Pintu gerbang Hong Kong Disneyland.


MRT menuju ke Disneyland. Apa yang menarik, tingkapnya
berbentu kepala Mickey Mouse. Jadi, ia nampak comel.

Menaiki MRT ke sini adalah pilihan yang bijak dan
boleh menjimatkan kos perbelanjaan anda.
Pengalaman Penulis: Untuk ke sini, saya menggunakan perkhidmatan MRT. Dari stesen MRT Mong Kok, ambil line Tsuen Wan MRT, kemudian tukar di station Lai King. Kemudian naik MRT hingga ke station Sunny Bay dan kita perlu tukar train ke arah Disneyland Resort hingga tiba ke DIsneyland. Tambang sekitar HKD18 (sila semak harga semasa). Perjalanan mengambil masa kira-kira 40 minit. 

Saya menghabiskan masa satu hari di disneyland. Jika anda ke sini, jangan terkejut melihat semua pekerjanya adalah warga tempatan. Daripada pekerja restoran, gerai-gerai sehinggalah kepada tukang sapu dan tukang kebun diisi oleh anak-anak muda Hong Kong termasuk para gadis. Perkara ini jarang dilihat di negara kita kerana kebanyakan sektor ini diisi oleh pekerja asing. Kawasan di sini sangat bersih. Anda tidak akan jumpa sedikit sampah pun. Malah, anda sendiri akan berasa malu untuk membuang sampah di merata tempat. (sikap bersih ini saya sangat suka).


Stall menjual pelbagai cenderamata berasaskan
kartun di bahagian hadapan disneyland. Harga agak mahal.

Bas comel ini adalah pengangkutan di dalam kawasan 
disneyland. Boleh menaikinya, tiada bayaran dikenakan, 
tetapi perlu berbaris agak panjang. 
Tapi lebih seronok berjalan kaki sahaja.

Bahagian hadapan mini bas.

Gerai menjual makanan ringan, roti, kek dan minuman.
Bentuk rotinya berupa Mickey Mouse amat menarik.
Harga makanan di sini agak mahal.
FLIGHTS OF FANTASY
Perarakan watak-watak disney, mickey & friends. Perarakan ini
bermula pada pukul 3 petang setiap hari. Ada mickey, minnie,
donald duck, tinker bell, pooh, chipmunk, snow white dan banyak
lagi. Kita bolehlah duduk tepi jalan melambai tangan pada mereka
sambil bergambar. Pengalaman yang sungguh menyeronokkan,
tidak dapat dilupakan.Pelbagai watak kartun dipersembahkan.


Air mineral sebotol HKD30.
SLEEPING BEAUTY FANTASY 
Istana ini menjadi ikon taman disneyland Hong Kong. 
Begitu indah memprsona, istana di negeri dongeng. 
Pada waktu malam pula, ada persembahan bunga api yang 
amat mengagumkan setiap hari.


Istana di negeri dongeng.
Watak Mickey Mouse.

Watak Pooh

Pengunjung boleh menyaksikan perarakan ini dari jarak dekat.
Boleh merakam kenangan bersama watak kesayangan anda.

FANTASYLAND- It is A Small World.
Di sini kita akan naik boat, seperti di The Mines. 
Tetapi di sini lebih menyeronokkan kerana kita 
akan 'mengelilingi dunia', pergi Europe, Africa, Asia 
Tenggara dalam masa 15 minit. Melihat watak-watak 
kartun menari-nari diiringi muzik. Sungguh comel.

Menaiki bot di Fantasyland untuk 'mengelilingi dunia'
melihat watak-watak kartun secara live.
Antara watak kartun yang boleh dilihat -
Snow White.

Briar Rose

Mickey & Friends
MYSTIC MANOR
Di sini kita boleh temui keajaiban di sebalik filem animasi 
dalam pameran ini. Lokasi ini juga menempatkan Pusat 
Perkhidmatan Ahli Akses Magik dan Ruang 
Istirahat Seni Animasi. 

ART OF ANIMATION
Di sini kita boleh temui keajaiban di sebalik filem animasi
dalam pameran ini. Lokasi ini juga menempatkan Pusat 
Perkhidmatan Ahli Akses Magik dan Ruang Istirahat 
Seni Animasi. 
POOH CORNER

ADVENTURELAND
Di sini boleh merasai gaya hidup sang tarzan.

TAHITIAN TERRACE
Antara restoran menjual menu halal di disneyland.
Harga makanan agak mahal. Steamed chicken rice HKD102.
Kalau duit kita dalam 50 macam tu. Restoran ini 
terletak di Adventureland.

Pintu utama masuk ke Tahitian Terrace.

Steamed Chicken Rice - HKD102.

Antara pelbagai menu pilihan di Tahitian Terrace.

BILA BERKUNJUNG KE HONG KONG DISNEYLAND:
- Menaiki MRT ke sini adalah pilihan bijak. Ia menjimatkan kos dan masa anda.
- Habiskan masa selama satu hari dari pagi hingga malam di Disneyland.
- Jika boleh, elakkan berkunjung di sini pada waktu cuti umum kerana anda berisiko berhadapan        dengan ramai pengunjung.
- Jangan buang masa berasak-asak mengambil gambar di bahagian depan pintu masuk kerana di bahagian dalam terdapat lebih banyak tempat yang sangat menarik.


TSIM SHA TSUI


Tsim Sha Tsui
TSIM SHA TSUI, ia bukan daerah biasa, tapi adalah bazar gergasi dunia di mana pelabuhan yang bergemerlapan di Hong Kong bertemu dengan lautan gerai, kedai, pasar dan pusat beli belah. Berjalan ke Canton Road, kita akan melewati gedung-gedung jenama antarabangsa dan butik label jalanan Asia serta pusat beli belah terbesar Hong Kong, iaitu Harbour City dan 1881 Heritage. Dengan hanya berjalan-jalan di  sepanjang Nathan Road dan jalan-jalan di sekitarnya sudah cukup menjadi pengalaman yang berharga. Di sini anda akan melewati kedai/bangunan bertemakan Bollywood, tukang-tukang jahit Shanghai, pelayan restoran yang bermulut manis, kedai batu pertama dan barangan kemas yang cantik, kamera, gedung-gedung jenama antarabangsa, dan butik label terkenal.


Pengalaman penulis: Menaiki MRT dari Stesen Mong Kok ke bandar Tsim Sha Tsui dengan kadar tambang HKD20 (sila semak harga semasa). MRT di sini sangat selesa dan cepat. Kita tidak akan jumpa warga asing sepertimana di Kuala Lumpur. Kebanyakannya adalah warga tempatan dan pelancong yang benar-benar melancong. Mereka juga sibuk dengan aktiviti masing-asing seperti membaca buku, surat khabar, bermain game atau melihat handphone.

APA YANG ADA DI TSIM SHA TSUI?

Menara Jam
Menara ini terletak di Tsim Sha Tsui, mempunyai ketinggian 44 meter. Menara jam tua ini dibina pada tahun 1915. Ia berdiri tegak menjadi peringatan kepada zaman arang batu. Ia juga menjadi mercu tanda bagi jutaan imigran Cina yang melalui terminal ini untuk memulakan hidup baru bukan sahaja di Hong Kong, malah di bahagian lain dengan menggunakan pelabuhan di bandar ini.

Menara Jam ini dibina pada tahun 1915.
Tsim Sha Tsui pada waktu malam.

Hong Kong Museum Art
Bagi pencinta seni, jangan lupa ke sini jika menjejaki kaki ke Hong Kong. Di muzium ini, anda boleh melihat lebih dari 15000 koleksi karya seni terbaik Hong Kong, foto-foto bersejarah dan kuno serta kaligrafi.

Hong Kong Museum Art
Avenue of Stars
Tempat ini sama seperti di Hollywood Walk of Frame, cuma di sini untuk meraikan dan memberi penghargaan kepada selebriti Hong Kong yang terkenal. Dengan plak komemoratif, cetakan tapak tangan celebriti, catatan peristiwa penting, tanda ingatan filem, patung aksi kungfu Bruce Lee dan replika kartun McDull, Avenue of Stars melambangkan glamour industri filem Hong Kong yang terletak di sekitar Victoria Harbour. Orang Hong Kong sangat menghargai karya seni mereka. Sehingga mereka menubuhkan sebuah tempat bagi memperingati dan mengenang serta menghargai jasa-jasa selebriti tanah air mereka.


Avenue of Stars

Agak sukar nak ambil gambar kerana terlalu
ramai pengunjung.


Ramai di Asia telah biasa dengan pemandangan 
di bandar ini, biarpun ada yang belum menjejakkan 
kaki ke sini. Kebanyakan filem HK berlatarbelakangkan 
Victoria Harbour.
Cetakan tapak tangan superstar antarabangsa, Jackie Chan, Bruce Lee, Jet Li dan patung kungfu Bruce Lee di Avenue of Stars.

Bruce Lee

Cetakan tapak tangan Jet Li

Cetakan tapak tangan Jackie Chan

Patung Bruce Lee di Avenue of Stars

VICTORIA HARBOUR
Victoria Harbour adalah punca kewujudan Hong Kong. Perairan yang dalam antara Pulau HK dan Semenanjung Kowloon menjadi sebab mengapa beberapa perkampungan nelayan tumbuh menjadi pusat dagangan antarabangsa. Hari ini, pelabuhan ini masih menjadi nadi bandaraya ini dan menjadi satu daripada landskap urban yang mengagumkan.

Victoria Harbour.

Star cruise - Victoria Harbour.

Star cruise - Victoria Harbour.
Public Ferry dari Hong Kong Island ke Kowloon.

SYMPHONY OF LIGHTS
Acara multimedia yang diiktiraf Guinness World Records sebagai pertunjukan cahaya dan bunyi kekal yang terbesar di dunia yang melibatkan 40 bangunan di kedua-dua belah Victoria Harbour. Ia persembahan pada waktu malam dengan pemandangan  Hong Kong Island dari Avenue of Stars. Symphony of Light yang berlangsung selama 20 minit, diiringi music, kelihatan bangunan seperti menari-nari.

SYMPHONY OF LIGHTS



Pengalaman Penulis: Dari Central Ferry Pier ke Kowloon menggunakan public ferry. Jangan tersilap. Terminal feri untuk ke Macau berbeza dengan terminal feri antara Hong Kong dan Kowloon Island. Terminal ferry untuk menyeberang menggunakan public ferry di Hong Kong Island bernama Central Ferry Pier kerana lokasinya di daerah Central. Sementara di Kowloon, namanya Star Ferry Pier. Tambang naik feri ini murah, pada hari biasa (hari bekerja) hanya HKD2.50 untuk upper deck dan HKD2 untuk lower deck. Pada hari hujung minggu, harga tambang agak mahal. Anda dinasihatkan duduk di bahagian upper deck kerana dapat melihat pemandangan yang sangat cantik. Harga di atas adalah untuk tiket dewasa, manakala untuk kanak-kanak harganya HKD1.50.


THE PEAK


Trem The Peak
The Peak adalah puncak tertinggi di Pulau HK. Ia adalah kawasan kejiranan paling eksklusif di Hong Kong sejak era kolonial. Pemandangan di sini menjadikan The Peak tarikan popular di HK. Di sini kita boleh menaiki Trem Peak untuk pemandangan indah, pencakar langit HK dapat dilihat melalui tingkap kereta api ini ketika pendakian.Namun, laluannya agak curam dan merbahaya, terutama pada hari hujan.






Victoria Peak
BIG BUS TOUR
Anda boleh meneroka bumi Hong Kong dengan menaiki bus hop on hop off bernama Big Bus Tour. Tiket bas ini hanya laku untuk tempoh-tempoh tertentu, misalnya 24 jam. Selama tempoh tersebut, anda bebas untuk naik turun di mana-mana tempat ia berhenti tanpa perlu membayar lagi. Setiap penumpang diberi peta route perjalanan dan earphone untuk mendengar informasi tentang setiap tempat yang dilawati nanti. 

Bas ini adalah dua tingkat, tanpa bumbung. Jika hari tidak panas, duduklah di tingkat atas kerana kita boleh melihat dengan luas pemandangan bumi Hong Kong yang mempersona, selain dapat menangkap gambar dengan jelas. Jika anda tidak tahu ke mana daerah dan tempat menarik yang ingin dituju, saya mencadangkan anda menaiki Big Bus Tour kerana pihak bas akan membawa anda ke seluruh tempat menarik di Hong Kong dengan harga yang berbaloi. Contohnya, melalui Queen Road Central, Victoria Park. 

Anda boleh dapatkan tiket di Big Bus Tours Information Center (TST), Unit KP-38, 1st Floor, Kowloon Star Ferry Pier, Tsim Sha Tsui atau di Peak Tram Lower Terminus. Dibuka dari jam 9 pagi hingga 6.45 petang. Terdapat banyak package yang ditawarkan dan anda boleh pilih mengikut bajet perbelanjaan anda. Anda juga boleh semak tiket di website bigbustours.com.



Big Bus Tours - Anda boleh meneroka mercu tanda Hong Kong
dengan bas ini dengan harga HKD500 (mengikut package
yang anda pilih). Kalau tak nak naik bas ini, boleh  naik bas 
biasa dengan tambang yang jauh lebih murah. 
Atau boleh naik tram. 
TREM THE PEAK terletak di Lower Terminus, Galeri Sejarah
Trem Peak. Ia memberi penghormatan kepada Trem The Peak, 
warisannya dan sejarah Hong Kong. Sejak tahun 1888, 
Trem The Peak telah berkhidmat kepada HK secara senyap 
dan telah menyaksikan perubahan di bandaraya itu selama 120 tahun.

Tram dah sampai, beratur agak panjang kerana terlalu ramai
pengunjung. Ia beroperasi dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah
malam setiap hari.

View dari dalam train, bandar Hong Kong yang padat dan sibuk.

Bas ini membawa penumpang ke The Peak
dengan tambang yang murah HKD9.80

Pengalaman Penulis: Naik ke puncak The Peak menggunakan bas biasa dua tingkat bernombor 15, dengan tambang HKD9.80 (semak harga semasa) dalam masa 40 minit tidak termasuk trafic jam dan turun menggunakan tram dengan harga HKD32, agak mahal. Tiket yang ditawarkan adalah pelbagai. Kita boleh beli tiket pergi dan ballik naik tram, atau boleh beli sehala sahaja. Misalnya, tiket Peak Tram pergi dan balik + Sky Terrace 428 berharga HKD83 (semak harga semasa). Naik tram kalau ada peluang, duduklah di bahagian tepi tingkap kerana mudah nak melihat pemandangan yang sangat mengujakan. Jalan risau jika terlepas bas, kerana kekerapan bas ini adalah 15 minit.


MADAME TUSSAUDS MUSEUM

Madame Tussaud Museum
Madame Tussaud merupakan muzium patung lilin tokoh/artis terkenal di dunia. Di sini, Madame tussaud sudah dibuka dari tahun 2000. Terdapat patung  artis barat, artis Hong Kong seperti Andy Lau, Donny Yen, Gem, Jackie chan. Selain itu, juga ada Taylor swift dan Siwon Choi (Super junior). Patung lilin di Madame Tussauds sangat menyerupai orangnya yang sebenar, bermula dari tinggi badannya, rambut, warna kulit sehinggalah ke matanya. Sekali pandang, seperti kita bergambar dengan orangnya yang sebenar. Madame Tussaud  terletak di Victoria Peak, di dalam Mall The Peak. Harga tiket masuk yang dikenakan ialah sebanyak HKD300 (sila semak harga semasa). Ia dibuka setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 9 malam.


Patung lilin Bruce Lee di Madam Tussaud
Pengalaman Penulis: Bandar-bandar di Hong Kong sangat bersih. Sukar bagi anda untuk menemui sampah di merata tempat. Semasa saya di Tsim Sha Tsui, saya melihat tong sampah berada di mana-mana. Ada sesetengah kawasan melarang anda merokok. Jika hendak merokok, anda perlu merokok berhampiran tong sampah yang disediakan. Jika tidak, denda menanti anda. Mereka sangat berdisiplin. Semasa saya menaiki bas citybus A21 (bas dua tingkat) ke airport, saya terbaca papan tanda larangan, ‘Anda tidak dibenarkan bercakap dengan pemandu semasa bas sedang bergerak’. Jadi, jika anda ingin bertanya sesuatu, tanyalah sebelum pemandu memulakan pemanduan. Pemandu juga dilarang menggunakan handphone ketika sedang memandu.

Masyarakat Hong Kong mengejar masa. Kebanyakan mereka berjalan sangat laju, mata pula pandang tanah. Apa yang menghairankan saya, mereka tidak pula berlanggar sesama sendiri. Mungkin sudah biasa. Mereka hormat menghormati antara satu sama lain. Berbeza dengan negara kita, ada sesetengah yang suka memandang orang dari atas ke bawah dari bawah ke atas tanpa sebab dan tidak kurang juga ada yang suka membuat bunyi siulan apabila melihat wanita terutamanya. Sikap begini amat tidak baik serta mencemarkan maruah diri sendiri. Mengapa kita tidak boleh mencontohi sikap profesional mereka. Kebanyakan peluang pekerjaan diisi oleh warga tempatan. Daripada bidang profesional, runcit, kedai perkhidmatan sehinggalah kepada tukang kebun dan tukang sapu.

No comments:

Post a Comment

KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...