Wednesday, December 5, 2018

DISEMBER BULAN HITAM

DISEMBER BULAN HITAM

Saya benar-benar tidak menyukai Disember. Ia bulan hitam dalam keluarga saya. Bulan yang merubah segalanya dalam keluarga besar saya. Mama pergi tanpa sebarang pesan. Sebarang persediaan. Langsung tidak ada. Ya, mana ada orang mati buat persediaan. Mana tahu nak mati bila. Kecuali orang mati ditali gantung. 3 Disember 1994, mama pergi meninggalkan kami adik-beradik terkapai-kapai. Seperti orang jatuh di lautan, tetapi masih ada ‘life jacket’ ketika itu. Adik bongsu baru berusia 5 tahun. Mengikut akal fikiran manusia biasa seperti saya, dia merupakan manusia paling malang dalam hidup ini. Itu mengikut fikiran akal manusia biasa. Kerana apa? Kerana dia belum tahu apa-apa pun tentang dunia. Dia belum mengerti apa itu meninggal dunia.Dia fikir mama tidur dan asyik memeluk mainan teddy bear coklatnya. Namun, sebenarnya dialah manusia paling bertuah. Ada sebab mengapa Allah ambil mama lebih awal. Di dalamnya penuh hikmah. Adik masih kecil dan dia tidak ada dosa sikit pun dengan mama. Apa yang menyedihkan, yang menjadikan saya trauma sehingga saat ini ialah cara kematian mama sungguh tragis. Saya masih ingat setiap saat rentetan kejadian. Allah cuma pinjamkan mama kepada saya hanya 12 tahun sahaja. Baru mengenal erti hidup, Allah ambil balik. Malam sebelum kejadian malang itu, saya tidur dengan mama depan tv, ketika menonton Teater Klasik P. Ramlee. Saya peluk mama dari belakang sambil tunggu mama kukus kuih kaswi. Adik golek-golek depan mama dengan teddy bear kusam. Itu yang terakhir! Tiada lagi selepas itu, seterusnya dan selama-lamanya.

Tahun ini 2018, genap 24 tahun mama bersemadi di negeri abadi. Sesungguhnya tiada apa yang kekal bersama kita. Semuanya milik Allah SWT. Suatu hari, kita semua akan pergi menghadapnya. Daripada DIA kita datang, kepada DIA jugalah kita kembali. Semoga Allah cucuri rahmat ke atas roh mama dan abah dan tempatkan mereka dalam kalangan para beriman. Gambar kecil di bawah ialah adik perempuan kesayangan saya, yang telah berusia 27 tahun. Kini dia seorang Engineer yang bertugas di sebuah kilang Jepun.

Syuhada Awang, adik kesayangan yang banyak
membantu dikala saya dalam kesusahan.


DUA PERKATAAN DALAM HIDUP SAYA

MAAF DAN TERIMA KASIH

Dalam hidup ini, perkataan paling sukar diucapkan oleh manusia cuma dua, ‘Minta maaf dan Terima kasih’. Tetapi tidak bagi saya. Dalam hidup saya, hampir setiap hari saya mengucapkan maaf dan terima kasih, kepada pelanggan, keluarga, rakan-rakan dan juga pekerja saya. Kadang-kadang kita lupa bahawa kita hidup bergantung kepada orang lain. Tidak kira siapa kita, bos besar, majikan, ketua jabatan, pekerja dan sebagainya.  Kadang kala juga kita tidak sedar bahawa kita telah melukai hati  orang lain, sama ada melalui lisan ataupun perbuatan. Allah jadikan kita saling memerlukan antara satu sama lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian. Majikan amat memerlukan pekerja. Orang sakit memerlukan doktor untuk merawat, memerlukan orang lain untuk memberi semangat agar cepat sembuh. Kita tidak boleh lari dari orang lain. Oleh itu, hubungan baik sesama insan haruslah dijaga sehingga ke akhir hayat. Ketika melakukan kesalahan, saya segera mengakuinya dan meminta jutaan maaf agar kesalahan saya dimaafkan. Kadang kala, perbuatan kita tanpa niat telah menyinggung perasaan orang lain, tetapi tidak diberitahu kita. Jadi, sehingga ke hari ini kita tidak tahu bahawa kesalahan itu tidak dimaafkan. Kepada yang mengenali diri ini, saya memohon maaf dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki andai ada perbuatan atau perkataan saya yang menyinggung perasaan anda. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada insan-insan yang berjasa sepanjang hayat saya.

KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...