TARIKH 3 DISEMBER 1994
3 Disember 1994 – Tarikh yang tidak akan saya lupa sampai
mati. Tarikh yang merubah hidup kami adik-beradik. Semua orang akan diuji Tuhan,
semua orang akan merasai kehilangan. Kesakitan kehilangan orang tersayang. Yang
selalu di sisi, di hati dan menemani jiwa setiap hari. Namun, apabila tiba
masanya, Tuhan ambil dia semula. Terasa satu dentuman halilintar yang memecah
gunung ganang. Sakit! Amat sakittt dan tiada ubat atau penawar lain. Tiada!
3 Disember 2018, bermakna sudah 24 tahun mama meninggalkan
kami adik-beradik dalam kemalangan jalan raya yang sungguh tragis. Perginya
secara mengejut dan tiba-tiba pada usia muda. Tidak siapapun menyangka. Walau sehari
sebelum kejadian, kami sekeluarga bergembira dalam majlis hari jadi anak
saudara kedua. Di dalam keriangan itu sudah ada petanda, namun tidak siapa
menyangka.
Orang yang paling saya sayang dalam dunia ini telah meninggal
dunia. Bermakna, saya tidak boleh memanggilnya lagi. Tidak boleh melihat,
apalagi menyentuh dan memeluknya. Jadi bingung dan mati akal. Buat apapun tidak
pernah berasa gembira. Hilang semangat,hilang pergantungan dan hilang
segala-galanya. Gelap dan saya tidak nampak apa-apa lagi di hadapan.
Sebak, kecewa, ralat, pasrah, menyalahkan takdir. Itu sudah
semestinya sebagai manusia biasa yang sangat lemah. Kehilangan orang tersayang
sangat-sangat menyakitkan dan tiada ubatnya. Kehilangan yang
selama-lamanya. Namun, saya sedar tiada
suatu apa pun yang kekal untuk kita di dunia ini melainkan Allah SWT dan tiada
apa yang kita punya melainkan semuanya dipinjamkan buat sementara. Kita cuma
diamanahkan menikmati seketika saat manis atau sukar ketika bersama. Bila tiba
waktunya diambil semula; kita perlu sentiasa redha.
Cuma ada satu yang saya tidak dapat lupa sehingga saat ini.
Setiap malam mama akan bertanya soalan yang sama berulang kepada adik bongsu,
“Kalau mama mati adik nak duduk dengan siapa?” Adik yang berusia 4 tahun ketika
itu mana mungkin faham apa yang diperkatakan. Hanya tahu tersengih comel dengan
pipi besar berambut keriting. Sekarang adik sudah besar dan sudah bekerja. Cinta
hati bongsu kesayangan mama.. Syuhada Awang.
Besar pengorbanan mama membesarkan kami sehingga tiada masa
berehat. Jadi Allah SWT bagi mama berehat. Mama pergi menghadap Ilahi, yang
kita juga akan temui nanti. Innalillahiwainailahirojiun.