Tuesday, December 19, 2017

KARYA 2011 - 2019

KARYA 2018

1. MUHAMMAD ALI - LEGENDA TINJU DUNIA

Muhammad Ali merupakan legenda tinju dunia dari Amerika Syarikat. Beliau dianggap antara peninju ‘heavyweights’ terhebat dalam sejarah sukan ini. Lahir dengan nama Cassius Marcellus Clay, beliau dikenali sebagai ‘The Greatest’ atau ‘Paling Hebat.’ Nama berkenaan dipilih sebagai mengingati kesengsaraan terhadap perhambaan orang kulit hitam pada kurun ke-19. Beliau kemudian menukar namanya pada tahun 1964. Sepanjang kariernya, Muhammad Ali dianggarkan menerima 29 ribu kali tumbukan lawannya. Terkenal dengan gaya menari sambil bertinju, Muhammad Ali dilahirkan di Louisville, Kentucky pada 17 Januari 1942. Beliau ialah Muslim pertama menjadi peninju dunia yang terkenal dalam kalangan umat Islam seluruh dunia, bukan sahaja kerana kehebatannya, malah juga kerana prinsipnya. Di kemuncak kerjayanya, Muhammad Ali dikatakan antara manusia paling terkenal di dunia. Bakat luar biasanya amat sesuai dengan rasa gah dan sombongnya yang melangit ketika mencabar lawan di gelanggang. “Saya paling hebat!” itulah ungkapan yang selalu lahir dari mulutnya. Beliau terlibat dalam beberapa perlawanan tinju yang bersejarah. Antaranya ialah pertarungan Liston pertama (1964), tiga kali dengan pesaing Joe Frazier (1971-1975), dan sekali dengan George Foreman (1974). Muhammad Ali berjaya melakukan transformasi ke atas negara ini dan meninggalkan impak besar dengan semangatnya. Kini, legasi beliau terlakar dalam sejarah dunia.


MUHAMMAD ALI: Legenda Tinju Dunia / Azlina Awang
ISBN 978-983-0134-70-3
1. Muhammad Ali,--1942-2016--Juvenile literature--United States.
2. Boxers (Sports)--Biography--Juvenile literature--United States.
3. African American boxes. I. Judul.
796.83

2. HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR
Kata-kata motivasi amat berpengaruh dalam kehidupan kita, misalnya dengan mendapatkan kata-kata motivasi bijak sudah tentu hati kita akan lebih tersentuh dan lebih bersemangat agar menjadi lebih baik lagi. Kata-kata motivasi bukan hanya digunakan untuk memberikan semangat tetapi juga berguna untuk membukapola pemikiran kita agar lebih maju dan rasional. Semoga buku HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR menjadi inspirasi serta dapat menyuntik semangat baru dalam menjalani kehidupan para pelajar.


HIMPUNAN KATA MOTIVASI PELAJAR
ISBN 978-967-0135-61-8
1. Motivation (Psychology)--Quotations, maxims, etc.
2. Motivation (Psychology) in children.
3. Educational phychology. I. Judul.
153.8
3. WABAK RABIES
Baru-baru ini, kita telah dikejutkan dengan wabak rabies atau penyakit anjing gila yang telah melanda negeri Sarawak. Serangan virus ini akan menyebabkan keradangan otak pada manusia dan mamalia lain. Kita sudah semestinya ingin mengetahui apakah rawatan untuk rabies serta langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti virus merbahaya ini. 

Mungkin ramai antara kita yang tidak pernah mendengar mengenai penyakit tersebut sebelum ini, namun kini adalah masa yang sesuai untuk kita mengetahui lebih lanjut mengenainya. Meskipun Kementerian Kesihatan sedang giat menjalankan usaha mengekang penularan virus rabies, namun orang ramai tidak seharusnya memandang remeh mengenai wabak anjing gila.


Buku WABAK RABIES memberi informasi tentang bahaya virus ini, punca-punca jangkitan, rawatan serta pencegahannya. Buku ini amat menarik kerana disertakan gambar foto berwarna bagi menambah lagi pemahaman  para pelajar. Ia juga dilengkapi latihan pemahaman bagi menguji minda. Semoga buku ini memberi manfaat kepada kita semua. 




WABAK RABIES / Azlina Awang.
ISBN 978-967-0187-44-0
1. Rabies. 2. Rabies in dogs.
3. Dogs--Virus diseases. I. Judul.
614.563

4. AWAS! LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS
Sejak kebelakangan ini, penyakit kencing tikus atau nama sainsnya Leptospirosis semakin menular di negara kita. Akhbar-akhbar tempatan mula membangkitkan isu penyakit ini, malah ada yang mengatakan bahawa penyakit ini adalah penyakit baru dan misteri di Malaysia. Pendapat ini adalah salah! Leptospirosis bukanlah penyakit baru di Malaysia, tetapi ia merupakan penyakit yang jarang berlaku.  Penyakit kencing tikus menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengira golongan usia. Ia merupakan pembunuh senyap yang mana pada tahap paling kronik, ia mampu membuatkan kegagalan fungsi pada beberapa organ penting tubuh seperti ginjal dan hati. Rawatan penyakit kencing tikus haruslah diberi segera untuk mengelakkan ia melarat. Paling teruk, penyakit kencing tikus boleh membawa maut.  Justeru, buku AWAS! LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS diterbitkan bagi memberi informasi lebih jelas tentang bahaya penyakit ini serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi mencegah diri kita daripada dijangkiti. Buku ringkas ini dilengkapi kosa kata serta latihan bagi menguji pemhaman para pelajar.

AWAS LEPTOSPIROSIS PENYAKIT KENCING TIKUS 
/ Azlina Awang.
ISBN 978-967-0366-56-2
1. Leptospirosis--Juvenile literature.
2. Leptospirosis in animals--Juvenile literature. I. Judul.616.9

KARYA 2017

1. MARTABAT BANGSA MELAYU

Masyarakat Melayu adalah salah satu komponen dari bangsa Malaysia. Kebanyakan adalah penduduk setempat yang telah menghuni wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Borneo bahagian barat laut. Definisi Melayu adalah sebagai penduduk peribumi yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, dan yang menjalani tradisi dan adat istiadat Melayu. Semenjak merdeka orang Melayu adalah penduduk majoriti negara ini. Hari ini, orang Melayu membentuk 65 peratus penduduk Malaysia.Setiap orang di Malaysia mempunyai hak-hak dan kewajipan yang sama, namun rakyat yang berketurunan Melayu mempunyai hak yang istimewa berbanding bangsa lain di Tanah Melayu. Buku MARTABAT BANGSA MELAYU mengkaji latar belakang bangsa Melayu dan hak-hak istimewa orang Melayu sejak dahulu yang telah tercatat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Perjanjian ini  telah pun diamalkan di negeri-negeri Melayu yang tidak bersekutu sebelum perang lagi. Buku ini dilengkapi foto berwarna serta sisipan info bagi menguatkan lagi pemahaman para pelajar. Ia juga dilengkapi latihan dan glosari. 


MARTABAT BANGSA MELAYU / Azlina Awang.
ISBN 978-967-0366-54-8
1. Malays (Asian people)--Ethnic identity.
2. Malays (Asian people)--History.
3. Malays (Asian people)--Social conditions
4. Malaysia--Race relations. I. Judul.
320.9595


2. CEGAH VIRUS ZIKA
CEGAH VIRUS ZIKA adalah sebuah buku yang memberi informasi tentang bahaya jangkitan Virus Zika. Ramai yang ingin tahu apa itu virus Zika? Virus Zika adalah sejenis virus yang disebarkan oleh nyamuk Aedes yang merupakan vektor yang sama untuk penyakit demam denggi dan chikungunya. Mungkin ada dalam kalangan kita yang sebenarnya sudah dijangkiti virus Zika, namun cukup sekadar menelan panadol untuk beberapa hari. atau ke klinik kesihatan dan dirawat sebagai demam biasa sahaja.Virus Zika telah menular di Malaysia dan orang ramai harus mengambil tindakan sewajarnya dengan membersihkan kawasan rumah dan persekiratan dengan kerap supaya tempat pembiakan Aedes dapat dihapuskan. Buku ini memberi informasi tentang gejala dijangkiti virus Zika, kesan serta rawatan dan pencegahan. Ia juga disertakan foto berwarna bagi memudahkan lagi pemahaman para pembaca. Semoga buku ini dapat membantu kita mencega jangkitan Virus Zika.

CEGAH VIRUS ZIKA / AZLINA AWANG.
ISBN 978-967-0187-43-3
1. Mosquitoes as carriers of disease. 2. Mosquitoes --Control. I. Judul.
614.4323


3. TAN SRI ADENAN SATEM 
(Pemimpin Berjiwa Rakyat yang Sukar dicari Ganti)
Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem, atau lebih dikenali sebagai Tok Nan seorang pemimpin yang tegas dalam melaksanakan tanggungjawab beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak. Beliau adalah tokoh yang menjiwai semangat 1Malaysia, seorang pemimpin yang mampu menyatukan rakyat berbilang kaum di bawah satu bumbung dan tidak pernah menepikan kepentingan mana-mana kaum. Tan Sri Adenan seorang pemimpin berjiwa rakyat yang tidak kenal erti penat lelah dalam memperjuangkan nasib rakyat Sarawak. Beliau telah meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan diri sendiri. Banyak transformasi yang telah dilaksanakan oleh beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri yang membuatkan rakyat lebih sayang dan yakin ke atas kepimpinan Kerajaan Barisan Nasional. Jasa Tan Sri Adenan sangat besar dan akan termaktub dalam buku-buku sejarah untuk  dikenang oleh semua, terutama rakyat Sarawak. Sesungguhnya kita semua telah kehilangan seorang pemimpin berwibawa yang memilih untuk berkhidmat untuk parti dan rakyat sehingga nafas terakhir beliau. Pemergian Tan Sri Adenan dalam kalangan masyarakat tempatan pastinya merupakan kehilangan besar bagi Sarawak khususnya dan Malaysia. Semoga Allah SWT cucuri rahmat ke atas roh AllahyarhamTan Sri Adenan dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah. 

ISBN 978-967-0366-55-5
1. Adenan Haji Satem, Tan Sri, 1944-2017--Biography. 2. Chief Ministers--
Sarawak (Malaysia). 3. Politicians--Sarawak (Malaysia). I. Judul.
923.20959522


KARYA 2016

1. TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD 
(Negarawan Terulung Tiada Bandingan)
TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD... siapa yang tidak kenal dengan insan ‘gah’ ini, mantan Perdana Menteri Malaysia Keempat. Pernah mengabdikan diri sebagai pemimpin tertinggi negara selama lebih dua dekad, beliau tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar dan berani. Berbekalkan daya intelektual yang tinggi dan bersandarkan kepada pemikiran strategi yang dimiliki, beliau terus memacu negara Malaysia ke arah negara maju. Tun telah dikaitkan dengan pembangunan pelbagai projek mega pada zaman pemerintahannya seperti Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Berkembar Petronas, Putrajaya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Koridor Raya Multimedia (MSC). Beliau terus meneraju Malaysia ke arah arus kemodenan dengan pantas dan memberi kemakmuran di setiap lapisan masyarakat. Selepas persaraannya, nama Tun Dr. Mahathir Mohamad terus terpahat sebagai ‘Bapa Pemodenan Malaysia’, NEGARAWAN TERULUNG TIADA BANDINGAN.

Tun Dr. Mahathir Mohamad (Negarawan Terulung Tiada Bandingan)
ISBN 978-967-0187-42-6
1. Mahathir Mohamad, Tun, 1925-.  2. Ex-prime ministers--Malaysia--Biography.
3. Politicians--Malaysia--Biography.
I. Judul.
923.2595

2. TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT 
(Ulama Zuhud Dalam Kenangan)
Tenang, warak, penyabar dan pemurah. Itulah ciri-ciri yang ada dalam diri Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, bekas Menteri Besar Kelantan. Beliau seorang ulama dan tokoh politik tanah air yang tidak asing lagi sejak lebih tiga dekad yang lalu. Beliau juga satu-satunya tokoh politik yang paling komited dan gigih memperjuangkan Islam sebagai Ad-Din yang perlu ditegakkan di negara ini. Di dalam buku ini, mencatatkan beberapa kisah yang agak menarik mengenai latar belakang pendidikan Tuan Guru dan latar belakang keluarganya serta kepimpinan beliau. Tuan Guru Nik Abdul Aziz bukan sahaja sebagai seorang Menteri Besar dan wakil rakyat yang luar biasa, malah beliau ialah seorang ulama dan pendakwah yang unik. Kini, nama Tuan Guru Nik Abdul Aziz terpahat dalam sejarah sebagai salah seorang pemimpin luar biasa yang mempunyai kehebatan tersendiri.

TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT: Ulama Zuhud Dalam Kenangan /
ISBN 978-967-0188-37-9
1. Nik Abdul Aziz Nik Mat, Dato’, 1931-2015. 2. Ulama--Kelantan--Biography.
3. Muslim scholars--Kelantan--Biography. 4. Politicians--Kelantan--Biography.
I. Judul.
922.97595

3. SISTEM BERAJA PAYUNG PENYATUAN
Sistem beraja dianggap penting dalam menjamin kestabilan negara kerana ia menaungi seluruh rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaanagama. Baginda diberi kuasa untuk memelihara adat istiadat orang Melayu dan Pentadbiran Agama Islam di negeri masing-masing. Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah Ketua Negara. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan. Raja berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan teras perpaduan dan payung penyatuan.

SULTAN MUHAMMAD V: (Sultan Negeri Kelantan) /
(SISTEM BERAJA PAYUNG PENYATUAN)
ISBN 978-967-0366-43-2 (set)
ISBN 978-967-0366-49-4
1. Monarchy--Malaysia. 2. Kings and rulers--Succession. 3. Malaysia--Politics
and government. 4. Malaysia--Kings and rulers--Juvenile literature.
5. Malaysia--History
I. Judul. II. Siri.
959.5

4. KHALID AL-WALID (Ketua Angkatan Tentera)
Apabila namanya disebut, gentar hati musuh. Seorang sahabat Rasulullah yang berjaya memimpin pasukan tentera mengalahkan tentera Parsi dan Rom. Gelaran Pedang Allah tidak membuatkan dirinya sombong. Beliau adalah Khalid al-Walid, seorang pahlawan Islam yang terkenal dengan kebijaksanaan dalam peperangan dan mengepalai tentera Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW dan juga zaman khalifah-khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Umar al-Khattab. Sebelum memeluk Islam, beliau adalah musuh Islam yang paling digeruni di medan perang kerana strategi perangnya yang hebat di mana umat Islam telah mendapat pengajaran yang cukup hebat ketika perang Uhud dahulu.

KHALID AL-WALID (Ketua Angkatan Tentera) - 2016

5. KENALI ASEAN
ASEAN adalah singkatan bagi Association of Southeast Asian Nations yang dikenali dalam bahasa Melayu sebagai Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara. Ia ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 selepas satu sidang kemuncak diadakan di Bangkok dan dihadiri oleh perwakilan  Kerajaan Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Singapura. KENALI ASEAN menyalurkan maklumat berkaitan hal ehwal negara anggota ASEAN, seperti kebudayaan, bahasa dan cara hidup masyarakat ASEAN kepada masyarakat umum di Malaysia. Ia bertujuan bagi meningkatkan pengetahuan dan kefahaman para pelajar mengenai ASEAN, peranan dan sumbangan ASEAN kepada kesejahteraan rantau Asia Tenggara. Di samping itu, ia bagi merealisasikan hasrat pemimpin-pemimpin negara ASEAN ke arah pembentukan serta mencapai Komuniti ASEAN menjelang tahun 2015.

KENALI ASEAN
ISBN 978-967-0375-46-5
1. Southeast Asia--History.
III. Judul.
959

KARYA 2015

1. KEMBARA SERATA MALAYSIA
Sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, KEMBARA SERATA MALAYSIA mengajak para pembaca menjelajah segala yang menarik di Malaysia bagi merealisasikan matlamat 28 juta pelancong pada tahun ini. Ketahuilah bahawa masa depan industri pelancongan negara terletak di tangan kita. Malaysia mempunyai banyak tarikan yang tiada tolok bandingnya. Marilah kita terokai dengan mata yang terbuka dan hati yang penuh keterujaan. Segalanya ada di Malaysia!

Keindahan Khazanah Laut dan Darat - 2015

Kembara Serata Malaysia - 2015

2. MALAYSIA... DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA
‘MALAYSIA... DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA’ merupakan Tema Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57. Bagi membangkitkan semangat cintakan negara, buku ini menerangkan secara ringkas informasi menarik latar belakang Malaysia dan sejarah kemerdekaan 57 tahun yang lalu. Kita amat bertuah dilahirkan di bumi Malaysia yang aman dan damai. Sama-samalah kita mengekalkan kemerdekaan yang dikecapi ini bukan sahaja kemerdekaan pada nama, tetapi  pada hati dan minda. Segalanya menarik tentang Malaysia!


Malaysia... Di sini Lahirnya Sebuah Cinta - 2015

Malaysia... Di sini Lahirnya Sebuah Cinta - 2015

3. SEKERAS KERIKIL HATIMU (NOVEL)
Kadangkala, kasih sayang seorang ayah tidak nampak dari zahir. Ada sebab dan hikmah dengan setiap perbuatan dan kelakuannya. Dalam bersedih, ayah lebih banyak memilih untuk berdiam kerana dia tidak pandai untuk menangis. Namun, dia akan melakukan yang terbaik untuk keluarganya. Semangat seorang ayah melebihi segala-galanya. Sayangi ibu bapa kita, tidak kira bagaimana keadaannya.

Novel Sekeras Kerikil Hatimu

Novel Pertama saya, Sekeras Kerikil Hatimu.

4. SRIKANDI PILIHAN ALLAH
ASMA ABU BAKAR (Pemilik Dua Tali Pinggang)
Asma Abu Bakar termasuk kumpulan wanita yang pertama memeluk Islam. Nama beliau tidak dapat dipisahkan dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan ayahnya, Abu Bakar as-Siddiq. Melalui peristiwa itu, Asma digelar ‘Pemilik Dua Tali Pingang’. Beliau terkenal sebagai seorang pejuang wanita Islam kerana pengorbanannya, keberaniannya serta kepahlawanannya dalam menyampaikan ajaran Allah SWT.

Srikandi Pilihan Allah - 2015

Asma Abu Bakar (Pemilik Dua Tali Pinggang) - 2015

5. PAHLAWAN PEDANG ALLAH
UMAR AL-KHATTAB (Al-Faruq, Khalifah Kedua Kaum Muslimin)
Sayidina Umar al-Khattab sangat digeruni oleh orang Musyrikin. Siapa sangka, beliau yang sangat memusuhi Islam akhirnya memeluk agama Islam. Ternyata berita pengislaman Umar menggemparkan masyarakat Quraisy. Di rumah adiknya, Fatimah menjadi tempat terbukanya jiwa Umar menerima cahaya Ilahi. Ketika menjadi khalifah, beliau begitu kuat mempertahankan hukum Allah SWT. 

Pahlawan Pedang Allah - 2015

Umar Al-Khattab (Al-Faruq, Khalifah Kedua Kaum Muslimin) - 2015

KARYA 2014

1. RUKUN NEGARA IDEOLOGI KEBANGSAAN
Ikrar Rukun Negara menjadi pegangan dan garis panduan dalam membina negara dan bangsa berjaya. Namun, adakah kita faham setiap prinsip Rukun Negara ini? Buku RUKUN NEGARA IDEOLOGI KEBANGSAAN menerangkan lebih terperinci maksud setiap lima prinsip Rukun Negara kita. Ia mengajak para pelajar memahami dan menghayati setiap ikrar yang dibaca di majlis-majlis rasmi. Buku ini dilengkapi foto berwarna sesuai untuk bacaan umum sebagai menambah pengetahuan.


Rukun Negara Ideologi Kebangsaan - 2014

Rukun Negara Ideologi Kebangsaan - 2014

2. MENYINGKAP TINGGALAN WARISAN (SIRI 3)
Menyingkap Tinggalan Warisan (Siri III) membongkar sejarah awal pembentukan negeri Tanah Melayu seperti Terengganu, Perlis, Sabah, Selangor dan juga Wilayah Persekutuan, iaitu Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur. Kita selalu alpa dengan arus pemodenan negara sehingga terlupa untuk berfikir sejauh mana  kita menghargai warisan tanah air. Sejarah tanah air  kita tidak harus dilupakan atau hilang begitu  sahaja. Ia perlu dipelihara dan dihargai sepanjang  zaman. Sayangilah bahan-bahan sejarah negara kita!

Menyingkap Tinggalan Warisan (Siri 3) - 2014

Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan - 2014

3. ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K
ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K diperkaya dengan maklumat dan pelbagai ilmu pengetahuan. Mencari ilmu tiada hadnya dan ilmu tidak akan pupus biarpun zaman berlalu beratus tahun. Hanya dengan ilmu masyarakat akan menjadi lebih bertamadun. ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K disusun mengikut abjad dari A hingga Z. Setiap tajuk disusun secara komprehensif, merangkumi pelbagai topik umum yang berkaitan hal-hal di sekeliling sama ada di dalam mahupun luar negara. Setiap halaman dilengkapi fakta dan penerangan terperinci serta gambar foto berwarna yang memukau para pembaca.

Ensiklopedia Perdana Pelajar Y2K - 2014

Abjad E - 2014

KARYA 2013

1. BINAAN KEAJAIBAN DUNIA
Monumen bersejarah menjadi bukti kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa yang berlaku,  termasuklah binaan pada zaman purba. Seni bina dan ukiran masyarakat terdahulu sungguh  mengagumkan. Mereka mampu membuat suatu peradaban dan mendirikan bermacam-macam bangunan yang unik reka bentuknya. Hal ini boleh dilihat dalam Binaan Keajaiban Dunia yang memaparkan beberapa bangunan lama dan unik yang menjadi warisan sejarah dunia. Walaupun monumen ini sangat lama, ia tetap dikagumi dan menjadi sebutan sehingga ke hari ini.


Binaan Keajaiban Dunia - 2013

Taj Mahal dan Menara Eiffel - 2013

2. SRIKANDI PILIHAN ALLAH
Wanita tidak pernah ketinggalan menyumbang dalam pelbagai bidang kehidupan masyarakat. Hal ini juga boleh dilihat pada zaman Rasulullah SAW. Golongan wanita tidak kurang hebatnya dalam perjuangan menegakkan kalimah Allah SWT. Dalam SRIKANDI PILIHAN ALLAH, penulis memuatkan beberapa orang tokoh pejuang muslimah pada zaman Rasulullah SAW yang begitu komited dalam memperteguhkan keimanan mereka kepada Allah SWT serta membantu perjuangan baginda. Mereka tidak gentar walau apa jua badai, dan onak duri yang datang melanda, sebaliknya keteguhan iman membuatkan mereka begitu cekal dan sabar dalam menghadapi apa jua cabaran.


Srikandi Pilihan Allah - 2013

Sumayyah Khayyat (Wanita Pertama Mati Syahid) - 2013

3. MENYINGKAP TINGGALAN WARISAN (SIRI II)
Kali ini, Menyingkap Tinggalan Warisan (Siri II) membongkar sejarah awal pembentukan negeri Tanah Melayu seperti Kelantan, Pahang, Johor dan Sarawak. Kita selalu alpa dengan arus pemodenan negara sehingga terlupa untuk berfikir sejauh mana kita menghargai warisan tanah air. Sejarah tanah air kita tidak harus dilupakan atau hilang begitu sahaja. Ia perlu dipelihara dan dihargai sepanjang zaman. Sayangilah bahan-bahan sejarah negara kita!

Menyingkap Tinggalan Warisan (Siri II) - 2013

Kelantan: Negeri Cik Siti Wan Kembang

4. TAHUKAH ANDA?
TAHUKAH ANDA? adalah bahan bacaan umum untuk pengetahuan para pembaca. Ia memuatkan pelbagai maklumat umum dalam pelbagai bidang untuk dikongsikan bersama para pelajar. Siri ini mengandungi empat buah buku yang berbeza topik. Maklumat yang disajikan sedikit sebanyak membantu para pelajar dalam menghadapi dunia masa kini.


Tahukah Anda? - 2013

Raja Payung Negara - 2013

5. ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K
ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K diperkaya dengan maklumat dan pelbagai ilmu pengetahuan. Mencari ilmu tiada hadnya dan ilmu tidak akan pupus biarpun zaman berlalu beratus tahun. Hanya dengan ilmu masyarakat akan menjadi lebih bertamadun. ENSIKLOPEDIA PERDANA PELAJAR Y2K disusun mengikut abjad dari A hingga Z. Setiap tajuk disusun secara komprehensif, merangkumi pelbagai topik umum yang berkaitan hal-hal di sekeliling sama ada di dalam mahupun luar negara. Setiap halaman dilengkapi fakta dan penerangan terperinci serta gambar foto berwarna yang memukau para pembaca.

Abjad A

Ensiklopedia Perdana Pelajar Y2K

KARYA 2012

1. KOLEKSI TELADAN SAHABAT ALAM
Koleksi Teladan Sahabat Alam mengisahkan haiwan-haiwan di hutan yang diadaptasikan daripada kisah kehidupan masyarakat. Cerita-cerita yang dipaparkan dalam siri ini mengandungi nilai-nilai moral yang dapat dipupuk dalam diri murid-murid selain dapat dijadikan teladan dan pedoman. Watak haiwan yang digunakan dalam siri ini bertujuan untuk menarik minat murid-murid membaca. Ia disertakan ilustrasi berwarna menarik berkaitan cerita, menggunakan bahasa yang mudah difahami, dilengkapi glosari dan juga latihan menguji minda. Siri ini sesuai untuk bacaan murid-murid Tahap 1 dan Tahap 2.


Koleksi Teladan Sahabat Alam - 2012

Muafakat Membawa Berkat- 2012
2. SIRI MENEROKA DUNIA SAINS

Siri Meneroka Dunia Sains mengajak pelajar-pelajar supaya lebih mengenali serta memahami tentang dunia sains. Siri ini menerangkan dengan lebih jelas tentang apa yang terkandung di dalam muka bumi serta di angkasa lepas selain penemuan-penemuan arkeologi pada zaman silam. Siri yang menakjubkan ini dilengkapi gambar foto yang memukau, lengkap dengan fakta dan penerangan terperinci tentang subjek ini. Latihan menguji minda yang menyeronokkan turut disediakan bagi membuka ruang untuk belajar dengan lebih banyak lagi.


Air Sumber Kehidupan - 2012

Siri Meneroka Dunia Sains - 2012

3. UNDANG-UNDANG DAN KESELAMATAN JALAN RAYA
Kesedaran rakyat Malaysia tentang pentingnya menjaga keselamatan semasa berada di jalan raya masih pada tahap yang rendah. Ada dalam kalangan kita memandang remeh undang-undang dan peraturan di jalan raya. Jadi, tidak hairanlah mengapa saban hari ada sahaja berita kemalangan jalan raya di dada akhbar dan televisyen. Justeru, Undang-undang dan Keselamatan  Jalan Raya menerangkan langkah keselamatan serta konsep pemanduan berhemat bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini. Ia juga menerangkan tugas dan tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kerja Raya serta jaringan jalan raya yang terdapat di Malaysia. Siri ini memupuk para pelajar menanam sikap bertimbang rasa, bertolak ansur, bersopan-santun dan pentingnya menjadi seorang pemandu yang berhemat.

Undang-undang dan Keselamatan Jalan Raya - 2012

Pandu Cermat, Jiwa Selamat - 2012

4. MENYINGKAP TINGGALAN WARISAN
Sebagai rakyat Malaysia, kita mungkin alpa dengan arus pemodenan negara sehingga terlupa untuk berfikir sejauh mana kita menghargai warisan tanah air. Sejarah zaman silam lenyap, begitu mudah dilupakan dan menjadi kurang mustahak. Justeru, Menyingkap Tinggalan Warisan membongkar sejarah awal negeri Tanah Melayu iaitu Melaka, Perak, Pulau Pinang dan Kedah untuk rujukan generasi sekarang dan akan datang. Sejarah tanah air kita tidak seharusnya dilupakan atau hilang begitu sahaja. Ia perlu dipelihara dan dihargai sepanjang zaman. Sayangilah bahan-bahan sejarah negara kita! Menyingkap Tinggalan Warisan menggunakan pengolahan ayat yang mudah difahami, dilengkapi gambar sebenar yang menarik, glosari dan latihan pemahaman. Ia turut diselitkan sisipan info yang lebih jelas tentang fakta sejarah bagi memudahkan para pelajar untuk lebih memahami.

Menyingkap Tinggalan Warisan - 2012

Kedah: Tapak Penemuan Arkeologi - 2012

KARYA 2011

1. SIRI TELADAN SANG NURI
Siri Teladan Sang Nuri adalah himpunan kisah dongeng teladan zaman raja-raja Melayu pada zaman dahulu. Cerita- cerita yang dipaparkan dalam siri ini adalah cerita dongeng namun ia sangat berkesan dalam memberi pengajaran, teladan dan pedoman kepada murid-murid. Kesan dan akibat perbuatan terlarang yang ditunjukkan dalam siri ini boleh memberi kesedaran kepada murid-murid bahawa setiap perbuatan yang tidak baik pasti akan dibalas dengan perkara yang tidak baik juga. Lebih menarik lagi, kisah-kisah teladan ini disampaikan oleh seekor burung nuri yang pintar kepada tuannya sendiri yang ingin melakukan perbuatan terkutuk.

Siri Teladan Sang Nuri - 2011

Anak Saudagar Kibas - 2011


2. PEMBANGUNAN MALAYSIA MENUJU 2020
Pembangunan Malaysia Menuju 2020 merupakan sebuah siri yang diterbitkan dalam tiga bahagian. Bahagian pertama dalam siri ini mengkhususkan kepada empat bidang pembangunan utama yang meliputi bidang pelancongan, pendidikan, perindustrian dan prasarana. Perkembangan empat sektor ini amat penting untuk membawa Malaysia ke arah negara benar-benar maju, berdaya saing, bersatu, berdikari, progresif dan makmur menjelang tahun 2020. 

Pembangunan Malaysia Menuju 2020 - 2011





Saturday, December 16, 2017

MY STORY BOOK

ORANG TAMAK SELALU RUGI
Umar dan Husin adalah sahabat akrab. Kedua-dua orang sahabat ini memiliki kemahiran yang berbeza. Umar mahir membuat ukiran kayu yang cantik manakala Husin pandai membuat kasut dan pakaian. Mereka hidup dalam suasana aman, damai serta saling membantu antara satu sama lain. Mereka menjual hasil tangan ini di bandar.

Ramai pelanggan berpuas hati dengan  hasil tangan mereka. Namun, keadaan ini tidak berpanjangan kerana negeri tersebut dilanda kemelesetan ekonomi. Banyak perniagaan terjejas di bandar itu. Pendapatan dua sahabat ini turut terjejas.



“Sin, nampaknya wang tabung kita sudah berkurang. Aku bimbang dengan keadaan sebegini,” kata Umar kepada Husin pada suatu hari.

“Aku juga bimbang dengan keadaan kita. Aku rasa, lebih baik kita keluar dari negeri ini. Mungkin kita akan mendapat rezeki yang lebih,” Husin menyatakan pendapatnya.


“Jika begitu katamu, aku menurut sahaja. Tapi kita hendak ke mana, ya?” soal Umar.

“Aku tidak pasti, yang penting kita keluar sahaja daripada belenggu kemiskinan ini,” kata Husin bersungguh-sungguh.

Setelah sebulat suara, Umar dan Husin pun merantau ke sebuah negeri. Tetapi, malangnya negeri yang mereka kunjungi itu turut dilanda kemelesetan ekonomi. Rakyat hidup dalam kemiskinan. Kebanyakan mereka menganggur dan taraf hidup di situ sangat rendah berbanding negeri asal mereka. Umar dan Husin berasa kesal, namun untuk berpatah semula mereka berasa malu.

“Umar, lebih baik kita bekerja apa sahaja yang ada di sini. Untuk pulang ke kampung semula, tidak mungkin kerana aku berasa malu,” kata Husin.

“Ya, aku pun fikir begitu. Sebelum wang simpanan kita habis, lebih baik kita bekerja apa sahaja, asalkan wang itu halal,” Umar pun bersetuju.

Tanpa membuang masa, Umar dan Husin pun mencari sebarang pekerjaan. Mereka berjalan di sebuah bandar, lalu menghampiri sebuah bangunan. Nasib menyebelahi mereka kerana kebetulan tauke di situ mahu mencari pekerja. Sikap Umar yang jujur dan berterus terang menarik tauke itu untuk mengambil Umar bekerja. Malangnya, gaji yang ditawarkan sungguh murah. Umar tidak kisah semua itu, asalnya dia mendapat wang yang halal.

Umar mula bekerja pada hari itu juga. Dia bekerja dengan rajin dan tekun. Dia benar-benar mahu keluar dari belenggu kemiskinan. Namun, berbeza pula dengan Husin yang belum mendapat sebarang pekerjaan. Puas dia berjalan di seluruh bandar itu, tetapi hampa. Husin berasa susah hati mengenangkan dia masih belum mendapat pekerjaan.

Walau bagaimanapun, Husin tidak berputus asa. Selang beberapa hari, dia berjalan-jalan di bandar tempat Umar bekerja. Alangkah gembiranya Husin apabila dia ditawarkan bekerja tidak jauh dari tempat Umar bekerja. Dia memulakan tugas pada hari itu juga. Husin bekerja dengan bersungguh-sungguh. Dia berazam mahu mengumpul wang untuk perbelanjaannya pulang ke kampung kelak.

Umar dan Husin bekerja dengan sangat rajin. Mereka akan menabung sedikit wang hasil upah bekerja. Mereka telah berjanji, jika wang tabungan ini sudah banyak mereka akan pulang ke kampung bersama. Wang ini akan digunakan untuk perbelanjaan di kampung. Namun, lama-kelamaan sikap Husin berubah. Semakin hari, dia malas bekerja. Wang tabungannya juga lebih sikit berbanding wang Umar.

Setelah sekian lama di perantauan, mereka membuat keputusan untuk pulang ke kampung. Umar memasukkan semua wang simpanannya ke dalam karung lalu digalas di belakang. Dalam perjalanan pulang, Husin yang melihat keadaan itu pun berkata, “Umar, aku rasa bahaya kita membawa wang banyak begini. Jika kena rompak, bagaimana?”

“Ah! Engkau jangan fikir yang bukan-bukan. Kita perlu teruskan perjalanan ini sebelum malam menjelma,” balas Umar.

“Tidak! Aku tidak yakin. Aku boleh merasakan sesuatu berlaku jika kita terus mengendong wang yang banyak ini,” Husin menyatakan kebimbangannya. “Bagaimana jika kita simpan sahaja wang ini di dalam hutan? Sudah tentu selamat kerana tiada sesiapa berada di sini.”

Pada mulanya, Umar tidak bersetuju dengan cadangan sahabatnya itu, namun setelah dipujuk rayu akhirnya dia bersetuju.

Namun, kebimbangan masih ada dalam diri Umar. Dia bimbang jika wangnya hilang dicuri orang. Dengan berat hati, dia mengikut cadangan Husin.

“Baiklah, aku bersetuju tetapi antara kita perlu mengikat satu perjanjian. Berjanjilah bahawa tidak ada sesiapa yang tahu kita menyimpan wang di sini dan engkau tidak akan mengkhianati aku,” begitulah kata Umar.

Husin tersenyum gembira. Selepas bersalam, mereka mula menggali lubang di pangkal sebatang pokok. Karung berisi wang tersebut dimasukkan ke dalam lubang itu lalu ditimbus. Kemudian, mereka berjalan pulang ke rumah masing-masing. Umar yakin Husin tidak akan mengkhianatinya kerana mereka akrab sejak kecil lagi. Apabila sampai di rumah, Husin termenung seketika. Dia mula memikirkan hutangnya yang banyak.



“Aku tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk melangsaikan hutang-hutangku,” bisik Husin.

Kemudian, seperti ada satu bisikan suara menyuruh Husin mengambil wang yang disimpan di hutan siang tadi. Husin mula berniat jahat. Dia ingin mengambil semua wang tersebut tanpa pengetahuan Umar.

Husin bersiap-siap untuk ke hutan pada malam itu juga kerana sangkaannya semua orang sedang nyenyak tidur. Keadaan di hutan yang gelap dan sunyi memudahkan Husin melakukan niat buruknya. Husin tidak membawa sebarang peralatan kerana bimbang ada yang curiga dengan perbuatannya. Beberapa lama berjalan, akhirnya dia sampai di tempat yang ditujui.

Tanpa memikirkan Umar, Husin menggali tempat di mana wangnya disimpan. Husin menjadi gelap mata melihat wang yang banyak. Dia mengambil kesemuanya.

“Wah! Wang ini terlalu banyak. Bakinya bolehlah aku guna untuk keperluan lain,” fikir Husin.

Setelah mengambil semua wang berkenaan, Husin pun pulang ke rumah. Langkahnya laju kerana bimbang ada yang melihat kelibatnya.

Pada keesokan pagi, Umar datang menemui Husin. Husin kelihatan gelisah kerana bimbang Umar mengetahui perbuatannya.

“Sin, aku benar-benar memerlukan wang untuk mengubati ibuku yang sakit. Mahukah engkau menemani aku ke hutan untuk mengambil wang simpanan itu?” soal Umar.

Husin yang kelihatan berpeluh itu tiada pilihan selain bersetuju sahaja ajakan sahabatnya.

Setelah menggali tempat menyimpan wang itu, Umar terkejut besar kerana mendapati wangnya tiada. Dia mula menuduh Husin mencurinya.

“Sin! Tergamak engkau mencuri wangku!” marah Umar.

“Tidak! Bukan aku yang mencurinya!” Husin menafikan.

“Jika bukan engkau, siapa lagi yang tahu kita menyimpan wang di sini?” Umar benar-benar marah.

Husin berpura-pura marah dengan tuduhan tersebut.

“Manalah aku tahu. Mungkin ada orang lain melihat kita menyimpan wang di sini,” Husin menafikan sekeras-kerasnya.

Umar tidak berpuas hati dengan jawapan Husin lalu mengadukan hal ini kepada hakim di negeri itu. Dia menceritakan segala-galanya kepada hakim. Keesokannya, hakim memanggil Husin untuk mendengar penjelasannya. Ketika menghadap hakim, Husin mula bercakap bohong. Bagi menyelesaikan masalah itu, hakim memutuskan hal ini perlu diadili di khalayak ramai.

Husin pulang ke rumah dengan perasaan bimbang. Tiba-tiba, dia memasang niat jahat. Husin telah bersepakat dengan bapanya untuk mengenakan Umar. Apabila tiba hari pengadilan, bapa Husin terlebih dahulu bersembunyi di sebalik sebatang pohon.

Sebelum sesi pengadilan bermula, Husin meminta izin untuk berdoa terlebih dahulu. Dia pun melutut di pangkal pohon besar lalu berkata, “Wahai pokok, engkau tunjukkanlah kebenaran bahawa aku tidak bersalah.”

Tiba-tiba, terdengar satu suara di sebalik pokok itu.

“Engkau tidak bersalah, Husin. Sahabatmu, Umar yang bersalah! Dia yang telah mencuri wang itu.”

Umar tidak berpuas hati. Tidak masuk akal pokok boleh bercakap. Dengan perasaan marah, dia lantas membakar pokok itu. Belum sempat api marak, terdengar suara rintihan meminta tolong.

“Tolong! Tolong! Tolonggggg! Jangan seksa aku.”

Alangkah terkejutnya mereka yang berada di situ melihat bapa Husin menjerit kesakitan. Tahulah mereka bahawa Husin telah memperdaya Umar. Dia dikenakan hukuman yang setimpal. Dengan perasaan malu, bapa Husin memohon maaf kepada Umar.

“Sejak hari itu, putuslah ikatan sebuah persahabatan. Umar tidak lagi berkawan dengan Husin.

Oleh kerana tamak dan tidak bersikap jujur, segala-galanya musnah.





KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...