Thursday, January 4, 2018

KEMBARA MALAYSIA

1. MELAKA
Kota A Famosa - 2011
Kota A Famosa
Jika ke Melaka, tidak sah kalau tidak melawat tempat ini. Kota A Famosa merupakan pintu gerbang kubu di Melaka. Ia adalah peninggalan Portugis dan sebuah kubu yang begitu mantap pada suatu masa dahulu. A Famosa telah bertukar tangan pada tahun 1641 apabila orang Belanda berjaya mengusir Portugis dari Melaka. Mereka telah mengubahsuai pintu gerbang tersebut pada tahun 1670 di mana tulisan  “ANNO 1670”  boleh dilihat pada pintu gerbang itu. Kubu ini mengalami kerosakan struktur yang teruk semasa pencerobohan Belanda. Apabila ia bertukar tangan kepada pihak British, mereka amat berwaspada mengenai pengekalannya dan mengarahkan kubu itu dimusnahkan. Ia hampir musnah keseluruhannya apabila Sir Stamford Raffles yang melawat Melaka dan campur tangan untuk menyelamatkan pintu gerbang daripada dimusnahkan kerana minat beliau terhadap sejarah.

Pembinaan kota A Famosa adalah arahan Alfonso de Albuquerque. Ia dibina sangat kukuh sehingga membantu Portugis untuk menangkis semua bentuk serangan. Untuk menakluk Melaka, pasukan Belanda mengepong kota tersebut selama lima bulan, sementara penduduk yang terperangkap di dalamnya terpaksa memakan kucing, tikus, dan dalam satu kes seorang wanita memakan bayinya yang sudah mati.

Struktur bangunan ini berusia 500 tahun masih gah berdiri.
Kebanyakan bangunan binaan penjajah Portugis menggunakan
batu letrik atau batu lada. Batuan ini sangat kukuh dan
diperolehi dari pulau di sekitar Melaka seperti Pulau Upeh.
Pengalaman Penulis: Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira dua jam dari Kuala Lumpur (tidak termasuk trafik sesak dan terlalu banyak lampu isyarat). Exit melalui Ayer Keroh, bayaran tol sebanyak RM16.50 (sila semak harga semasa). Ramai pengunjung ke sini untuk merakamkan kenangan berlatarbelakangkan sebuah kubu yang terlalu tua usianya. Nak masuk ke sini free sahaja. Ia beroperasi sepanjang masa. Bangunan ini terletak bersebelahan Gereja St. Paul dan Bangunan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan. Boleh parking kereta bersebelahan Taman Merdeka, dan hanya jalan kaki beberapa meter. Jika anda terus datang ke sini tanpa sedikit pengetahuan dan latarbelakang sejarahnya, anda akan merasa ia tempat biasa-biasa sahaja.


Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka

Pembinaan semula replika Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka ini melambangkan kehebatan Melaka dan teknologi ketika itu untuk dipertonton dengan lebih dekat kepada para pelancong. Putaran kincir air ini memperlihatkan kitaran kehidupan dan evolusi tamadun manusia akan kekal dan berulang kembali andai ilmu sentiasa dicari dan sejarah dijadikan pengajaran dan panduan.

Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka - 2011

Bangunan Stadthuys
Bangunan Stadthuys dibina pada tahun 1650 sebagai penempatan rasmi Gabenor Belanda dan Timbalan Gabenor, di mana struktur bangunan ini melambangkan seni rekabentuk Belanda yang halus.

Bangunan Stadthyus, Melaka - 2011

Pengalaman penulis: Di kaki lima bangunan ini terdapat gerai-gerai menjual cenderamata, pakaian, perhiasan dan juga makanan. Harganya agak mahal. Jadi, kenalah tengok betul-betul.


Botanical Garden Buggy Ride, Melaka 
Taman Botanikal Melaka dahulu dikenali sebagai Hutan Rekreasi Ayer Keroh. Ia terletak berhadapan dengan Zoo Melaka.Jaraknya hanya 3 kilometer dari susur keluar tol Ayer Keroh.Taman Botanikal mempunyai keunikaan tersendiri di mana persekitarannya di kelilingi hutan semulajadi.

Pengalaman yang sangat mengujakan apabila pandu Buggy sendiri.

Pengalaman penulis: Taman rekreasi ini menyediakan buggy yang boleh dipandu sendiri mengelilingi taman sejauh 4 kilometer dengan tempoh perjalanan kira-kira 30 minit saja. Bayaran yang dikenakan bergantung kepada jenis buggy yang dipilih. Sebanyak 34 jenis buggy disediakan, iaitu 14 kereta dan 20 motosikal berkuasa elektrik. Semua kenderaan ini diimport dari China. Bagi yang membawa keluarga, boleh memilih kereta yang mempunyai tempat duduk untuk empat, enam dan lapan orang. Manakala motosikal mempunyai satu dan dua tempat duduk. Harga sewa buggy yang dikenakan untuk tempat duduk empat orang adalah RM40 bagi tempoh 30 minit (sila semak harga semasa).

Pantai Klebang 
Pantai Klebang terletak menghadap Selat Melaka. Ia adalah pantai tambak yang dihasilkan kerajaan negeri Melaka untuk tarikan pelancong. Ada sesuatu yang lebih menarik di sini, iaitu BUSTEL. Apa itu??

Pantai Klebang, Melaka - 2014

BUSTEL
BUSTEL ialah hotel yang dihasilkan daripada bas-bas terpakai di Melaka. Ia diubahsuai cantik. Terdapat bilik air, katil, sama seperti hotel biasa. Bustel terletak di Dataran 1Malaysia, Pantai Klebang. Berhampiran bustel, terdapat bus cafe (street food) yang menyediakan pelbagai hidangan. Apa yang popular di sini ialah coconut shake. Jadi, jika anda ke sini jangan lupa kelapa goncangnya yang sangat sedap!

BUSTEL, hotel yang dihasilkan daripada bas terpakai.

Jangan lupa menikmati coconut shake jika
berkunjung ke Pantai Klebang.


Di dataran 1Malaysia Klebang ini ada juga beberapa aktiviti menarik yang tidak bosan antaranya, permainan ATV. Jadi, jika kebosanan pada hujung minggu, bolehlah berkunjung ke sini.



2. PAHANG

CAMERON HIGHLANDS - The Green Carpet of Malaysia
Cameron Highlands, destinasi pelancongan terbaik yang mampu dan mudah dikunjungi oleh semua orang dengan beberapa lokasi unik seperti ladang teh, strawberi dan masyarakat Orang Asli. Jika kelapangan pada hujung minggu, saya sering mengunjungi tempat sejuk ini. Ia terletak di barat daya negeri Pahang setinggi 1829 meter dari aras laut. Keindahan Cameron Highlands pastinya akan memukau hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke sini. Tempat peranginan dingin ini mempunyai bentuk muka bumi yang istimewa.

Keindahan di Blue Valley Tea Estate, Gunung Brinchang, Tringkap dan petempatan Orang Asli Sungai Ruil cukup memukau. Ladang teh yang menghijau dan indah di sini diusahakan oleh Sungai Palas Boh Tea Plantation. Lain-lain tarikan ialah Wild Orchid Farm, Green Farm, Rose Valley Village, Butterfly Farm, Butterfly Garden, Kea Farm, Pasar Sayur, Uncle Sam Farm, Cactus Point, Tokong Sam Poh, Cactus Valley, Strawberry Farm, pelbagai hotel, resort dan rumah rehat serta padang golf. Di puncaknya terletak Balai Polis Cameron Highlands dan Balai Bomba Cameron Highlands. Di sini juga terletaknya Gunung Beremban, Gunung Jasar, Gunung Perdah dan Air Terjun Robinson. Lain-lain lokasi ialah Ringlet dan Kampung Lembah Bertam.

Ladang Teh BOH Sungai Palas (Best Of Highland).


Lebuhraya PLUS menuju ke Cameron Highlands.

Pengalaman Penulis: Pengunjung boleh tiba di Cameron Highlands dengan melalui simpang laluan dari Tapah dan jalan dari Simpang Pulai, Ipoh juga boleh digunakan untuk ke sini. Dari Kampung Raja, pengunjung boleh pergi ke Gua Musang di Kelantan. Dari Tapah pula, pengunjung akan menemui air terjun Lata Iskandar.

Dari Lebuhraya PLUS, anda mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada melalui tol Tapah atau tol Simpang Pulai. Persimpangan Tapah lebih dekat, tetapi bentuk jalannya yang berliku dan sempit amat merbahaya. Dinasihatkan anda memandu dengan berhati-hati terutama jika hari hujan. Jika melalui persimpangan Simpang Pulai pula, perjalanan anda memakan masa yang panjang, namun jalannya lurus sahaja.

Jika anda exit melalui Tapah dari Jalan Duta, dikenakan bayaran tol sebanyak RM19.40 (sila semak harga dari semasa ke semasa). Jarak ke Cameron Highlands dari KL (Jalan Duta) lebih kurang 143KM.






No comments:

Post a Comment

KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...