Saturday, December 16, 2017

MY STORY BOOK

ORANG TAMAK SELALU RUGI
Umar dan Husin adalah sahabat akrab. Kedua-dua orang sahabat ini memiliki kemahiran yang berbeza. Umar mahir membuat ukiran kayu yang cantik manakala Husin pandai membuat kasut dan pakaian. Mereka hidup dalam suasana aman, damai serta saling membantu antara satu sama lain. Mereka menjual hasil tangan ini di bandar.

Ramai pelanggan berpuas hati dengan  hasil tangan mereka. Namun, keadaan ini tidak berpanjangan kerana negeri tersebut dilanda kemelesetan ekonomi. Banyak perniagaan terjejas di bandar itu. Pendapatan dua sahabat ini turut terjejas.



“Sin, nampaknya wang tabung kita sudah berkurang. Aku bimbang dengan keadaan sebegini,” kata Umar kepada Husin pada suatu hari.

“Aku juga bimbang dengan keadaan kita. Aku rasa, lebih baik kita keluar dari negeri ini. Mungkin kita akan mendapat rezeki yang lebih,” Husin menyatakan pendapatnya.


“Jika begitu katamu, aku menurut sahaja. Tapi kita hendak ke mana, ya?” soal Umar.

“Aku tidak pasti, yang penting kita keluar sahaja daripada belenggu kemiskinan ini,” kata Husin bersungguh-sungguh.

Setelah sebulat suara, Umar dan Husin pun merantau ke sebuah negeri. Tetapi, malangnya negeri yang mereka kunjungi itu turut dilanda kemelesetan ekonomi. Rakyat hidup dalam kemiskinan. Kebanyakan mereka menganggur dan taraf hidup di situ sangat rendah berbanding negeri asal mereka. Umar dan Husin berasa kesal, namun untuk berpatah semula mereka berasa malu.

“Umar, lebih baik kita bekerja apa sahaja yang ada di sini. Untuk pulang ke kampung semula, tidak mungkin kerana aku berasa malu,” kata Husin.

“Ya, aku pun fikir begitu. Sebelum wang simpanan kita habis, lebih baik kita bekerja apa sahaja, asalkan wang itu halal,” Umar pun bersetuju.

Tanpa membuang masa, Umar dan Husin pun mencari sebarang pekerjaan. Mereka berjalan di sebuah bandar, lalu menghampiri sebuah bangunan. Nasib menyebelahi mereka kerana kebetulan tauke di situ mahu mencari pekerja. Sikap Umar yang jujur dan berterus terang menarik tauke itu untuk mengambil Umar bekerja. Malangnya, gaji yang ditawarkan sungguh murah. Umar tidak kisah semua itu, asalnya dia mendapat wang yang halal.

Umar mula bekerja pada hari itu juga. Dia bekerja dengan rajin dan tekun. Dia benar-benar mahu keluar dari belenggu kemiskinan. Namun, berbeza pula dengan Husin yang belum mendapat sebarang pekerjaan. Puas dia berjalan di seluruh bandar itu, tetapi hampa. Husin berasa susah hati mengenangkan dia masih belum mendapat pekerjaan.

Walau bagaimanapun, Husin tidak berputus asa. Selang beberapa hari, dia berjalan-jalan di bandar tempat Umar bekerja. Alangkah gembiranya Husin apabila dia ditawarkan bekerja tidak jauh dari tempat Umar bekerja. Dia memulakan tugas pada hari itu juga. Husin bekerja dengan bersungguh-sungguh. Dia berazam mahu mengumpul wang untuk perbelanjaannya pulang ke kampung kelak.

Umar dan Husin bekerja dengan sangat rajin. Mereka akan menabung sedikit wang hasil upah bekerja. Mereka telah berjanji, jika wang tabungan ini sudah banyak mereka akan pulang ke kampung bersama. Wang ini akan digunakan untuk perbelanjaan di kampung. Namun, lama-kelamaan sikap Husin berubah. Semakin hari, dia malas bekerja. Wang tabungannya juga lebih sikit berbanding wang Umar.

Setelah sekian lama di perantauan, mereka membuat keputusan untuk pulang ke kampung. Umar memasukkan semua wang simpanannya ke dalam karung lalu digalas di belakang. Dalam perjalanan pulang, Husin yang melihat keadaan itu pun berkata, “Umar, aku rasa bahaya kita membawa wang banyak begini. Jika kena rompak, bagaimana?”

“Ah! Engkau jangan fikir yang bukan-bukan. Kita perlu teruskan perjalanan ini sebelum malam menjelma,” balas Umar.

“Tidak! Aku tidak yakin. Aku boleh merasakan sesuatu berlaku jika kita terus mengendong wang yang banyak ini,” Husin menyatakan kebimbangannya. “Bagaimana jika kita simpan sahaja wang ini di dalam hutan? Sudah tentu selamat kerana tiada sesiapa berada di sini.”

Pada mulanya, Umar tidak bersetuju dengan cadangan sahabatnya itu, namun setelah dipujuk rayu akhirnya dia bersetuju.

Namun, kebimbangan masih ada dalam diri Umar. Dia bimbang jika wangnya hilang dicuri orang. Dengan berat hati, dia mengikut cadangan Husin.

“Baiklah, aku bersetuju tetapi antara kita perlu mengikat satu perjanjian. Berjanjilah bahawa tidak ada sesiapa yang tahu kita menyimpan wang di sini dan engkau tidak akan mengkhianati aku,” begitulah kata Umar.

Husin tersenyum gembira. Selepas bersalam, mereka mula menggali lubang di pangkal sebatang pokok. Karung berisi wang tersebut dimasukkan ke dalam lubang itu lalu ditimbus. Kemudian, mereka berjalan pulang ke rumah masing-masing. Umar yakin Husin tidak akan mengkhianatinya kerana mereka akrab sejak kecil lagi. Apabila sampai di rumah, Husin termenung seketika. Dia mula memikirkan hutangnya yang banyak.



“Aku tidak mempunyai wang sebanyak itu untuk melangsaikan hutang-hutangku,” bisik Husin.

Kemudian, seperti ada satu bisikan suara menyuruh Husin mengambil wang yang disimpan di hutan siang tadi. Husin mula berniat jahat. Dia ingin mengambil semua wang tersebut tanpa pengetahuan Umar.

Husin bersiap-siap untuk ke hutan pada malam itu juga kerana sangkaannya semua orang sedang nyenyak tidur. Keadaan di hutan yang gelap dan sunyi memudahkan Husin melakukan niat buruknya. Husin tidak membawa sebarang peralatan kerana bimbang ada yang curiga dengan perbuatannya. Beberapa lama berjalan, akhirnya dia sampai di tempat yang ditujui.

Tanpa memikirkan Umar, Husin menggali tempat di mana wangnya disimpan. Husin menjadi gelap mata melihat wang yang banyak. Dia mengambil kesemuanya.

“Wah! Wang ini terlalu banyak. Bakinya bolehlah aku guna untuk keperluan lain,” fikir Husin.

Setelah mengambil semua wang berkenaan, Husin pun pulang ke rumah. Langkahnya laju kerana bimbang ada yang melihat kelibatnya.

Pada keesokan pagi, Umar datang menemui Husin. Husin kelihatan gelisah kerana bimbang Umar mengetahui perbuatannya.

“Sin, aku benar-benar memerlukan wang untuk mengubati ibuku yang sakit. Mahukah engkau menemani aku ke hutan untuk mengambil wang simpanan itu?” soal Umar.

Husin yang kelihatan berpeluh itu tiada pilihan selain bersetuju sahaja ajakan sahabatnya.

Setelah menggali tempat menyimpan wang itu, Umar terkejut besar kerana mendapati wangnya tiada. Dia mula menuduh Husin mencurinya.

“Sin! Tergamak engkau mencuri wangku!” marah Umar.

“Tidak! Bukan aku yang mencurinya!” Husin menafikan.

“Jika bukan engkau, siapa lagi yang tahu kita menyimpan wang di sini?” Umar benar-benar marah.

Husin berpura-pura marah dengan tuduhan tersebut.

“Manalah aku tahu. Mungkin ada orang lain melihat kita menyimpan wang di sini,” Husin menafikan sekeras-kerasnya.

Umar tidak berpuas hati dengan jawapan Husin lalu mengadukan hal ini kepada hakim di negeri itu. Dia menceritakan segala-galanya kepada hakim. Keesokannya, hakim memanggil Husin untuk mendengar penjelasannya. Ketika menghadap hakim, Husin mula bercakap bohong. Bagi menyelesaikan masalah itu, hakim memutuskan hal ini perlu diadili di khalayak ramai.

Husin pulang ke rumah dengan perasaan bimbang. Tiba-tiba, dia memasang niat jahat. Husin telah bersepakat dengan bapanya untuk mengenakan Umar. Apabila tiba hari pengadilan, bapa Husin terlebih dahulu bersembunyi di sebalik sebatang pohon.

Sebelum sesi pengadilan bermula, Husin meminta izin untuk berdoa terlebih dahulu. Dia pun melutut di pangkal pohon besar lalu berkata, “Wahai pokok, engkau tunjukkanlah kebenaran bahawa aku tidak bersalah.”

Tiba-tiba, terdengar satu suara di sebalik pokok itu.

“Engkau tidak bersalah, Husin. Sahabatmu, Umar yang bersalah! Dia yang telah mencuri wang itu.”

Umar tidak berpuas hati. Tidak masuk akal pokok boleh bercakap. Dengan perasaan marah, dia lantas membakar pokok itu. Belum sempat api marak, terdengar suara rintihan meminta tolong.

“Tolong! Tolong! Tolonggggg! Jangan seksa aku.”

Alangkah terkejutnya mereka yang berada di situ melihat bapa Husin menjerit kesakitan. Tahulah mereka bahawa Husin telah memperdaya Umar. Dia dikenakan hukuman yang setimpal. Dengan perasaan malu, bapa Husin memohon maaf kepada Umar.

“Sejak hari itu, putuslah ikatan sebuah persahabatan. Umar tidak lagi berkawan dengan Husin.

Oleh kerana tamak dan tidak bersikap jujur, segala-galanya musnah.





No comments:

Post a Comment

KARYA TAHUN 2019

1. TUN MAHATHIR MELAKAR SEJARAH TUN MAHATHIR seorang pemikir dan revolusiner yang tidak pernah lekang dengan hasil cetusan idea yang segar...